Anda di sini

Gara-gara buah rambutan, lelaki nekad bunuh pakcik sendiri

Advertisement

KENINGAU: Gara-gara buah rambutan, seorang lelaki tempatan nekad membunuh pakciknya pada kejadian di Kampung Likowon, Sook di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, pada kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang juga seorang lelaki warga emas dikenali Angah Angamai, 85, ditemui mati di tepi Sungai Bonor Sook.

“Suspek berumur 49 tahun ditangkap dan sebilah parang berukuran 61 sentimeter panjang turut dirampas daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah, di sini kelmarin.

Katanya, polis menerima laporan berhubung kes itu pada 23 Januari jam 11.07 pagi oleh seorang pengadu yang juga Ketua RELA Kampung Bonor, yang memaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan suspek disyaki menggunakan parang dan mangsa ditemui berlumuran darah di bahagian badan.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ASP Lee Nyuk Kim ke tempat kejadian.

Douglas berkata siasatan mendapati pada 23 Januari kira-kira jam 10 pagi ketika seorang saksi lelaki tempatan berumur 34 tahun yang juga seorang petani hendak ke sawah, menemui satu mayat di Sungai Bonor Sook.

“Saksi menghubungi orang kampung dan pengadu yang berada di Keningau telah datang ke balai polis di sini membuat laporan.

“Sisatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengambil buah rambutan di belakang rumah suspek. Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 22 Januari, kira-kira jam 10 pagi,” katanya.

Douglas berkata selepas membunuh mangsa, suspek mengheret mayat mangsa ke sungai dan kejadian berlaku di belakang rumah suspek.

Katanya, jarak rumah suspek dan mangsa lebih kurang 30 meter sementara jarak suspek mengheret mayat mangsa ke tebing sungai lebih kurang 80 meter dari tempat kejadian.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa oleh doktor Hospital Keningau mendapati mangsa mengalami kecederaan 28 kesan tetakan, tiga tetakan di muka, lima tetakan di leher, satu tetakan di dada, dua tetakan di lengan kanan, sembilan tetakan di lengan kiri, dua tetakan di pinggang, satu tetakan di kaki kanan, tiga tetakan di kaki kiri dan dua tetakan di belakang kepala.

“Pihak foresnik telah dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya.

Douglas berkata suspek direman enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

 

Advertisement