Anda di sini

Lebih dua tahun terpisah dek dinding kaca

Advertisement

Penghuni penjara akhirnya berpeluang peluk anak pada Program Jalinan Kasih Hari Natal

 Ceyln melepas rindu dengan anak-anaknya yang datang melawatnya dalam Program Jalinan Kasih Hari Natal Penjara Wanita Kota Kinabalu.

KESEMPATAN: Ceyln melepas rindu dengan anak-anaknya yang datang melawatnya dalam Program Jalinan Kasih Hari Natal Penjara Wanita Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Setelah lebih dua tahun bertemu anak-anaknya di sebalik dinding kaca, akhirnya Celyn, 46, berpeluang memeluk erat anak-anak pada Program Jalinan Kasih Hari Natal Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK), di sini kelmarin.

Ibu kepada 11 orang anak ini mengambil peluang yang ada untuk berjumpa dan memeluk erat empat anaknya yang hadir bersama nenek mereka dalam program berkenaan.

“Walau masa yang ada hanya beberapa jam tetapi beliau berasa sangat bertuah kerana mempunyai kesempatan untuk berjumpa dan memeluk anak-anaknya,” kata banduan PWKK ini ketika ditemui semasa Program Jalinan Kasih sempena Hari Natal, PWKK, di sini kelmarin.

Banduan warga Filipina yang kini menetap di Sandakan ini berasa gembira kerana menjadi antara tujuh penghuni PWKK dan Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu (SHGWKK) yang terpilih untuk berjumpa ahli keluarga dalam program itu.

Walaupun pada awalnya surat yang diterima menyatakan permohonannya untuk menyertai program itu tidak diluluskan tetapi apabila disemak untuk kali kedua, ternyata ada kesilapan teknikal yang berlaku.

Sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau tidak sabar untuk bertemu anak-anak yang akan datang menemuinya sempena program berkenaan.

Disebabkan pihak PWKK hanya membenarkan lima orang sahaja ahli keluarga penghuni yang menghadiri program itu maka, beliau hanya dapat melepaskan rindu kepada empat anaknya yang hadir.

Banduan yang dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan terlibat dalam penipuan perniagaan ini mula menjalani hukuman pada Oktober 2013 dan dijangka akan dibebaskan pada Februari 2019.

Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Celyn berkata, apabila dibebaskan kelak beliau menyimpan hasrat untuk kembali menjalankan perniagaan.

“Biarpun saya belum mengetahui bagaimana penerimaan masyarakat di luar sana tetapi saya akan cuba menjalankan perniagaan bagi menyara kehidupan kami anak-beranak,” katanya.

Menurutnya, beliau dan suaminya telah berpisah sejak enam tahun lalu dan sejak itu, anak-anak menjadi tanggungjawabnya.

Ditanya bagaimana beliau boleh terjebak dalam kesalahan itu, banduan yang berasal dari Filipina ini berkata ia berlaku kerana tersilap langkah dalam memilih rakan perniagaan.

Beliau tidak ingin memikirkan mengenai perkara itu lagi kerana ia sudah berlalu dan beliau hanya ingin menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas keluar nanti.

Salah seorang anaknya yang hadir dan hanya mahu dikenali sebagai Valarie berkata, sejak dimaklumkan bahawa ibu ada memohon mengikuti program Jalinan Kasih sempena Hari Natal, dia sangat menantikan saat itu.

Walau terlepas penerbangan pada Sabtu lepas tetapi dia sedaya upaya mendapatkan tiket penerbangan baru pada Isnin (18 Januari) bagi memastikan dia berkesempatan menyertai adik-beradik lain untuk berjumpa dengan ibu mereka.

Valarie, 21, yang kini menuntut di universiti awam di Semenanjung Malaysia berkata, walau mereka sering melawat ibu di PWKK tetapi mereka dipisahkan di sebalik dinding kaca.

“Ini adalah kali pertama kami dapat berjumpa dan memeluk ibu sepanjang ibu menjalani hukuman di sini,” katanya.

Tuah menyebelahinya apabila secara kebetulan Program Jalinan Kasih itu diadakan ketika dia mulai cuti semester.

Ditanya pandangan masyarakat sekeliling mengenai ibu mereka yang dipenjarakan, Valarie berkata memang ada yang berpandangan negatif tetapi dia tidak mengendahkan sebarang komen negatif sebegitu.

“Bagi saya, saya tidak kisah apa orang mahu cakap atau fikir asalkan saya tahu bagaimana ibu saya. Saya tahu susah dan senang yang ibu alami,” katanya.

Turut menjadi antara penghuni yang diberi kesempatan bertemu ahli keluarga ialah Diana, 18, iaitu pesalah juvana yang dipenjarakan di SHGWKK berikutan terjebak penyalahgunaan syabu sejak berada di tingkatan satu akibat terikut-ikutkan kawan.

Katanya, apabila ayahnya mendapati dia terjebak dengan syabu, ayahnya bertindak melaporkan perkara itu ke balai polis berserta bukti sekali.

Katanya, walau agak sedih kerana terpisah daripada keluarga tetapi dia banyak belajar benda baharu yang tidak dipelajari semasa berada di luar penjara. Antaranya seperti membuat kek cawan.

Penghuni SHGWKK ini berjanji pada diri sendiri dan keluarganya bahawa dia tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Pesalah juvana yang bercita-cita menjadi seorang polis itu berkata, menjalani pemulihan di situ banyak mengajarnya agar lebih menghargai kehidupan.

Pesalah juvana yang berasal dari Bingkor, Keningau ini dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Dia menjalani hukuman di PWKK bermula pada Januari 2015 sehingga Januari 2018.

Ayahnya yang turut hadir pada program itu berkata, ketika beliau mengetahui bahawa anaknya terjebak dengan syabu, beliau berasa amat kecewa dan marah dengan tindakan anaknya itu.

“Saya amat terperanjat apabila suatu hari ternampak barang itu (syabu) terjatuh dari tangan anak saya ketika dia berada di biliknya. Selepas itu, saya berikan dia peluang untuk berubah. Apabila tiada tindakan yang diambil untuk membuktikan dia akan berubah saya terus melaporkan perkara itu ke balai polis,” katanya.

Takut ketagihan itu akan berpanjangan, beliau memutuskan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada polis bersama dengan bahan bukti sekali.

Selepas setahun Diana menjalani hukuman, ayahnya melihat anak ketiga daripada enam beradik itu sememangnya mula berubah ke arah yang lebih baik.

Ditanya mengenai pandangan orang luar tentang tindakan beliau menghantar anaknya ke SHGWKK, beliau berkata memang ada yang memberi komen negatif tetapi beliau inginkan yang terbaik untuk pemulihan anaknya.

Advertisement