Anda di sini

Waspada taktik pengganas

Advertisement
 Shah Ghazali (kiri) bersama Chandra menyanyikan lagu Negaraku sempena Program Ceramah Cermin Diri di Kota Kinabalu, kelmarin.

WASPADA: Shah Ghazali (kiri) bersama Chandra menyanyikan lagu Negaraku sempena Program Ceramah Cermin Diri di Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Masyarakat perlu peka terhadap sebarang bentuk kelakuan atau perbualan ganjil yang menjurus kepada lambang pengganas.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Shah Ghazali Khan Shahadad berkata, laporkan segera kepada polis sekiranya ada perbuatan atau perbualan yang bertujuan meraih simpati atau sokongan terhadap mana-mana pertubuhan pengganas.

Menurutnya, kumpulan atau pertubuhan pengganas yang wujud tidak akan dapat berfungsi tanpa sokongan daripada pihak lain.

“Saya percaya kumpulan-kumpulan pengganas ini mencari penyokong dan meraih simpati dalam apa juga keadaan.

“Setiap hari mereka akan menghantar ‘tweet’ sebanyak lebih 100,000 di laman ‘Twitter’ kepada seluruh dunia bagi merekrut ahli baharu untuk dapat sokongan.

“Kita dapati secara keseluruhan matlamat mereka merekrut ahli baharu adalah untuk melaksanakan keganasan di mana-mana negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Ceramah Cermin Diri Ke Arah Kecemerlangan anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Shah Ghazali menasihatkan agar masyarakat mengelak daripada dipengaruhi oleh mana-mana kumpulan pengganas.

“Tindakan yang mereka lakukan itu kononnya atas alasan berjihad atau mati syahid. Ia bukanlah saranan dalam agama.

“Saya percaya tidak ada agama yang mewajarkan atau membenarkan seseorang itu membunuh manusia lain begitu sahaja.

“Mati syahid tetapi mengakibatkan kematian kepada orang lain seolah-olah mangsa keganasan mereka itu tidak ada tanggungjawab terhadap keluarga,” jelasnya.

Beliau turut menganggap tindakan kumpulan pengganas adalah perkara yang sangat tidak betul dan masyarakat perlu mengambil iktibar.

Selain itu katanya, capaian media yang mudah kepada akses terhadap apa juga perkara antara faktor yang membawa kepada pengaruh kumpulan pengganas.

Menurutnya, jika masyarakat tidak dapat membezakan benda yang baik serta buruk, ia memudahkan mereka untuk terpengaruh atau terpanggil memberi respons terhadap sesuatu perkara yang diumpan oleh kumpulan pengganas.

Buat masa ini, pihaknya belum dapat mengesan sekiranya ada dalam kalangan anggota polis yang terlibat dengan sebarang kegiatan kumpulan pengganas.

“Kita sentiasa membuat pemantauan dengan mengarahkan semua ketua supaya mengawal secara ketat untuk melaksanakan tindakan awal sebelum terlambat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisoner M Chandra.

 

Advertisement