Anda di sini

Polis buru lima suspek kes bunuh

Advertisement

 Hamzah (tengah), Ladamah (kiri) dan Zaidi (kanan) menunjukkan empat gambar antara lima suspek yang dikehendaki.

DIBURU: Hamzah (tengah), Ladamah (kiri) dan Zaidi (kanan) menunjukkan empat gambar antara lima suspek yang dikehendaki.

LAHAD DATU: Polis menyiarkan empat gambar daripada lima orang suspek yang dikenal pasti dan berada dalam buruan polis selepas disyaki terlibat dalam satu kejadian kes bunuh melibatkan seorang mandur di Ladang Permai, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad dalam sidang media di IPD Lahad Datu kelmarin berkata, kelima-lima suspek dikenali sebagai Al Hakim Nasir, 20, Herman Nasir, 18, Nasir Mazdar, 40, Mohd Azali, 23, dan Sidik Gapar, 25.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi di kawasan penanaman semula sawit di ladang itu, mangsa dikenali sebagai Raden Ahmad berusia 35 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh salah seorang pekerja ladang berkenaan sebelum memaklumkan kepada majikannya.

“Mangsa yang mengalami cedera parah dengan kesan tikaman sebanyak enam kali di bahagian belakang badan dan satu kesan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian sebaik tiba di Hospital Daerah Lahad Datu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah diserang seramai lima individu yang merupakan pekerja kepada ladang berkenaan sebelum kesemua suspek bertindak melarikan diri.

“Kita juga turut menjumpai dan merampas sebilah besi leper dan sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dipercayai senjata yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya sambil menambah, pihaknya percaya kes itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham yang tercetus antara mangsa dan kelima-lima suspek.

Hamzah berkata, sehingga kini, usaha bagi mengesan dan menangkap kelima-lima suspek masih diteruskan dan pihaknya percaya kesemua mereka masih lagi berada dalam daerah ini.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kelima-lima suspek berkenaan diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Lahad Datu di talian 089-881255.

Hadir sama dalam sidang media itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Lahad Datu ASP Ladamah Sulaiman dan Insp Mohd Zaidi Johari.

 

Advertisement