Anda di sini

Ketua kampung perlu dibenar miliki senjata api

Advertisement

Boleh berdepan ancaman sebelum pihak keselamatan tiba

KOTA MARUDU: Kerajaan disaran agar memberi kebenaran kepada ketua kampung di negeri ini untuk memiliki senjata api sebagai langkah berjaga-jaga daripada ancaman luar dan dalam negara sebelum pihak keselamatan tiba untuk membantu.

Ketua Kampung Tandek Zaman Bayang berkata, pihak berkuasa khususnya PDRM perlu melonggarkan syarat pemilikan senjata api supaya ketua kampung boleh memiliki senjata api demi keselamatan diri dan kampung mereka.

Katanya, ketua kampung perlu dibenarkan menggunakan senjata api bagi membantu pihak berkuasa dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan kampung masing-masing sentiasa terjaga.

Bagaimanapun, beliau berpendapat ketua kampung perlu menghadiri kursus undang-undang keselamatan dan penggunaan senjata api terlebih dahulu sebelum mereka diberi lesen menggunakan senjata api.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Dialog Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Kota Marudu di IPD Kota Marudu, pagi kelmarin.

Menurut Zaman, ketua kampung yang dilantik pada tahun 60-an dahulu dibenarkan menggunakan senjata api.

“Tetapi kenapa sekarang tidak? Padahal terdapat keperluan untuk membenarkan penggunaan senjata api demi keselamatan kampung,” katanya.

Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan beliau kerana ia dilihat relevan dan penting untuk memastikan keselamatan kampung sentiasa terjamin daripada ancaman luar.

Advertisement