Anda di sini

Rakyat harus beri kerjasama

Advertisement

Pastikan keselamatan di negara ini terus terjamin: Musa

KOTA KINABALU: Rakyat harus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan di negara ini terus terjamin, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semalam.

Nasihatnya itu susulan insiden pengeboman di sebuah pusat beli-belah di ibu negara Indonesia pada Khamis lepas.

“Kami rasa sedih dan kesal dengan apa berlaku di Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyertai ujian kemahiran menembak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa PDRM telah meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi susulan kejadian di Jakarta itu.

Musa juga berkata beliau meminta Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun supaya memastikan keselamatan setiap kawasan di negeri ini terkawal dan terjaga.

“(Bagaimanapun), seharusnya wujud kerjasama antara semua pihak supaya memastikan keselamatan kita terkawal dan terjaga,” tambahnya.

Sementara itu, Abd Rashid berkata PDRM Sabah meningkatkan semua usaha bagi memastikan keadaan keselamatan di seluruh negeri, termasuk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), adalah terjamin.

“Kami telah berbincang dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan mereka juga telah meningkatkan semua langkah-langkah keselamatannya,” katanya.

Abd Rashid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghebahkan khabar angin berhubung keselamatan di negeri ini.

Sebaliknya, beliau meminta masyarakat untuk menyemak kesahihan sesuatu maklumat dengan balai polis berhampiran atau dengan ESSCom jika maklumat tersebut berkaitan ESSZone.

Beliau juga memaklumkan pihak risikan polis sedang menjalankan tugas dengan baik dan beliau sendiri memantau secara rapat semua maklumat risikan yang diterima.

Mengenai ujian kemahiran menembak bersama ketua menteri itu, Abd Rashid berkata aktiviti itu merupakan platform bagi mengeratkan hubungan antara PDRM Sabah dan pihak Ketua Menteri Sabah. — Bernama

Advertisement