Anda di sini

Peruntukan RM1.2j naik taraf SAN Kg Pantai

Advertisement

SIPITANG : Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk menaiktaraf Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Pantai di sini bagi menggantikan sekolah lama yang sudah ‘berusia’ lebih dua dekad itu.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, peruntukan itu termasuk menggantikan bangunan asal sekolah berkenaan yang usang.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan kerja-kerja meninggikan tapak asal SAN yang sebelum ini sering dilanda banjir sehingga menjejaskan sesi persekolahan pelajarnya.

“Pelaksanaannya kini berada di peringkat tender dan akan dimulakan dalam masa terdekat tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Pendidikan dan Kesedaran Pengguna di Masjid Kampung Pantai, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Ahmad dan Ketua Puteri UMNO Sipitang Suzie Hamat.

Sapawi yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah berkata, sebaik siap nanti, SAN berkenaan akan turut dilengkapi sebuah bilik guru dan enam bilik darjah bagi menampung lebih ramai pelajar.

Pada masa sama katanya, ia mampu memberi keselesaan kepada pelajar dan guru khususnya ketika sesi pembelajaran di kelas berbanding kemudahan yang terdapat di SAN sedia ada.

“Penambahbaikan ini dapat mengatasi masalah pertambahan pelajar saban tahun yang sebelum ini terpaksa bersesak berikutan keadaan bilik darjah yang agak sempit dan terhad,” katanya.

Terdahulu, sesi ceramah tentang Hak Pengguna Islam daripada Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Negeri Sabah Ustaz Muhamad Fadli Amat turut diadakan di program anjuran Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) itu.

Advertisement