Anda di sini

JKR Sabah dan SPRM tandatangani komitmen kerjasama banteras rasuah

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah muncul agensi kerajaan yang pertama tahun ini menandatangani komitmen kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras jenayah rasuah.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah Hasbilah Mohamad Salleh majlis menandatangani komitmen kerjasama itu dilaksanakan Jumaat lepas dengan disertai 72 orang termasuk pegawai kanan, jurutera bahagian, Ketua Penguasa Projek dan Jurutera Daerah.

“Mereka yang terlibat melafazkan ikrar bagi menzahirkan sokongan bersama-sama mencegah dan membanteras jenayah rasuah,” katanya dalam kenyataan,di sini semalam.

Hasbilah berkata kerjasama itu penting bagi memantapkan pengurusan kualiti dan integriti jabatan sekali gus memberi kesedaran mengenai rasuah kepada semua pegawai agensi itu.

“Usaha ini dapat memastikan ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses kerja, peraturan dan tatacara selain proses perancangan serta penyeliaan perolehan, tender mahupun kontrak kerajaan,” katanya.

Belia berkata jalinan kerjasama diberikan JKR Sabah itu selaras dengan inisiatif Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman pada Mei lepas yang mahu semua jabatan atau agensi kerajaan di Sabah memberi sokongan serta bekerjasama dengan SPRM memerangi jenayah rasuah. — Bernama

Advertisement