Anda di sini

Beli tong gas LPG guna dokumen pengenalan diri

Advertisement

Tawau daerah pertama di M’sia kuat kuasa syarat tersebut

 Pembelian tong LPG di Tawau termasuk Pulau Sebatik kini perlu disertakan dokumen pengenalan diri pelanggan bermula kelmarin.

PERATURAN BAHARU: Pembelian tong LPG di Tawau termasuk Pulau Sebatik kini perlu disertakan dokumen pengenalan diri pelanggan bermula kelmarin.

TAWAU: Tawau muncul sebagai daerah tunggal di Malaysia yang menyaksikan penguatkuasaan syarat pelanggan wajib menunjukkan dokumen pengenalan diri dalam urusan jual beli tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi bermula kelmarin.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayudin berkata, penguatkuasaan itu dilakukan sebagai langkah untuk mencegah ketirisan tong LPG daripada berleluasa.

“Langkah ini diambil sebagai salah satu kaedah mencegah penyeludupan kerana sebelum ini dilaporkan banyak ketirisan tong LPG dikesan antara Tawau dan Pulau Sebatik.

“Kita sudah mengenal pasti jumlah bekalan sebenar yang diperlukan di daerah ini dan kita percaya bekalan adalah mencukupi untuk menampung permintaan,” katanya pada sidang media, di sini.

Roslan berkata, mengikut statistik KPDNKK, komuniti tanah besar Daerah Tawau memerlukan 60,000 tong LPG sementara Pulau Sebatik pula sebanyak 1,500 tong sebulan.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai kaedah sudah diambil selama ini untuk mengawal penyelewengan atau penyalahgunaan tong LPG namun tidak berkesan.

“Kita memerlukan pendekatan baharu untuk memastikan isu ketirisan tong LPG dapat diatasi,” katanya sambil mengatakan KPDNKK akan melakukan pemantauan dan pengkuatkuasaan berterusan untuk memastikan peraturan baharu itu dipatuhi.

Menurutnya, KPDNKK juga sudah meminda syarat-syarat dan lesen yang dimiliki peruncit dan pemborong tong LPG di daerah ini supaya memasukkan syarat penjualan tong LPG kepada mereka yang berkelayakan sahaja.

“Mereka juga dikehendaki menyimpan buku stok yang menunjukkan rekod urusan jual beli dengan pelanggan untuk membolehkan kita memantau bilangan penerimaan dan penjualan bekalan tong LPG di setiap premis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kesemua kira-kira 200 peniaga berlesen di daerah ini termasuk orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa melakukan urusan jual beli tong LPG.

Ketika ditanya pemberita berhubung status Tawau sebagai daerah yang paling kronik di Malaysia menghadapi isu ketirisan tong LPG, Roslan bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara terbabit atas alasan isu ketirisan tong LPG turut berlaku di Semenanjung.

Menyentuh hal berkaitan beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti pengeksport berlesen untuk mengeksport bekalan tong LPG ke negara jiran yang diharap akan dapat mengurangkan masalah penyeludupan bahan bakar terbabit.

“Kita sedang merancang dan mencari pengeksport untuk membekalkan LPG secara sah ke negara jiran dan perkara ini masih dalam rundingan,” katanya.

Advertisement