Anda di sini

Lelaki cedera dalam kemalangan Jalan Kimanis-Keningau

Advertisement

 Keadaan kereta mangsa selepas terbabit kemalangan di Batu 18 Jalan Kimanis-Keningau malam Selasa lepas.

MALANG TIDAK BERBAU: Keadaan kereta mangsa selepas terbabit kemalangan di Batu 18 Jalan Kimanis-Keningau malam Selasa lepas.

PAPAR: Seorang lelaki cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan di Batu 18 Jalan Kimanis-Keningau, di sini malam Selasa lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.43 malam 12 Januari lalu.

“Kita menggerakkan seramai 11 anggota yang diketuai oleh saya sendiri bersama empat jentera bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis BMW.

“Operasi itu juga disertai empat anggota polis dan bantuan daripada BBP Keningau ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer itu,” katanya.

Dunstan berkata, operasi pencarian yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu terpaksa ditangguhkan pada jam 3.54 pagi berikutan angin kuat serta kabus yang tebal di kawasan terbabit.

“Mangsa kemudiannya berjaya dijumpai orang awam kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian pada jam 7 pagi kelmarin.

“Mangsa yang berada dalam keadaan cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Keningau dan operasi keseluruhan tamat jam 7.15 pagi kelmarin,” katanya.

 

 

Advertisement