Anda di sini

Wanita ditemui mati, suami ditahan bantu siasatan

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis menemui mayat seorang wanita di tepi jalan kebun kelapa sawit berhampiran rumah murah Kampung Taman Muhibbah di Beaufort, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata ketika ditemui kira-kira jam 3.50 petang, terdapat kesan lebam pada mata kiri dan hentakan di sebelah kanan kepala Jum Dala, 42.

Katanya terdapat koyakan pada baju mangsa selain tudung dan seluar panjangnya tertanggal, manakala seluar panjang dalam masih dipakainya.

“Siasatan di tempat kejadian juga menemukan sebatang besi paip panjang kira-kira enam kaki berhampiran mayat mangsa, yang dipercayai digunakan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menurutnya jarak tempat kejadian ialah kira-kira satu kilometer dari jalan utama dan kawasan itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan berhutan.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa yang juga buruh kontrak untuk membantu siasatan kes itu.

Mayat Jum dihantar ke Hospital Beaufort untuk dibedah siasat.— Bernama

Advertisement