Anda di sini

Tipu online sukar difail di TTPM

Advertisement

Kekurangan maklumat peniaga menyukarkan tindakan dan tuntutan

KOTA KINABALU: Kekurangan maklumat peribadi mengenai peniaga atas talian (online) dikenal pasti sebagai penyebab utama kes melibatkan penipuan perniagaan online sukar untuk dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Ketua Seksyen TTPM cawangan Sabah Jahida Usok berkata, walaupun banyak pertanyaan melibatkan penipuan online diterima namun tidak banyak kes yang difailkan di TTPM cawangan Sabah berikutan kekurangan maklumat mengenai peniaga online.

“Kita terima banyak pertanyaan berkaitan perniagaan online tetapi mereka tidak dapat memfailkan tuntutan. Walaupun banyak pertanyaan tetapi pemfailan kes penipuan online tidak tinggi kerana apabila pengguna berurusan secara online melalui peniaga atau individu, pengguna tidak mendapatkan nama, nombor kad pengenalan serta alamat peniaga berkenaan.

“Walaupun ada yang mengetahui nama tetapi tiada nombor kad pengenalan dan kita juga tidak tahu di mana dia (peniaga) berada.

“Apabila individu (peniaga) tidak boleh dikesan maka surat (tuntutan) tidak dapat diberikan dan tindakan tidak boleh diambil,” katanya kepada media ketika ditemui semasa mesyuarat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna bersama agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini kelmarin.

Menurutnya, untuk melakukan pemfailan tuntutan, pihak yang dituntut mesti wujud.

Atas sebab itu, Jahida menyarankan agar pengguna bertindak secara bijak dengan menyiasat latar belakang mengenai seseorang peniaga online sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

Ia kerana kebanyakan kes apabila sudah tertipu baharulah pengguna melakukan siasatan siapa peniaga berkenaan. Apabila disiasat baharu mereka mengetahui bahawa peniaga berkenaan terlibat dalam banyak kes penipuan.

“Atas sebab itu, sebelum membuat sebarang transaksi, siasat dulu. Kebanyakan kes yang berlaku, apabila sudah melakukan pembayaran baharulah mahu siasat.

“Tribunal memang tidak boleh bantu siasatan. Oleh itu, pengguna boleh membuat laporan polis atau laporkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk penguatkuasaan,” jelasnya.

Jahida juga mengingatkan pengguna agar jika berurusan dengan syarikat luar negara, mereka harus memastikan syarikat itu mempunyai cawangan di Malaysia. Jika berlaku ketidakpuasan hati terhadap produk ditawarkan, ia boleh difailkan di tribunal.

“Jika syarikat terlibat adalah syarikat di luar Malaysia, ia tidak boleh dibicarakan mengikut akta di Malaysia. Jadi sebelum berurusan secara online, pastikan syarikat itu ada syarikat di Malaysia dan bayaran dibuat kepada syarikat di Malaysia,” katanya.

Mengenai jumlah kes tuntutan yang dibawa ke TTPM Sabah pada tahun lalu, Jahida berkata sepanjang 2015, terdapat 119 kes difailkan dan 12 kes belum didengar.

Kes yang belum didengar itu melibatkan sembilan kes di Kota Kinabalu dan tiga kes di Sandakan.

Menyentuh soal kes tertinggi yang didengar di TTPM, beliau berkata kes berkaitan kereta antara kes yang paling banyak difailkan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Jahida berkata, TTPM hanya boleh mendengar kes yang nilai maksimum tuntutan adalah RM25,000 dan tuntutan hanya diperakui dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kes itu difailkan. Sebaik pemfailan kes dibuat, sesuatu pendengaran kes akan dibuat dalam tempoh 40 hari dari tarikh ia difailkan.

Beliau berkata, antara kes yang tiada dalam bidang kuasa TTPM ialah seperti perkara berkaitan dengan tuntutan kewangan dan insurans seperti pinjaman, bayar hutang dan kemalangan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid menyarankan pengguna mengetahui hak mereka sebagai pengguna dengan membuat tuntutan jika berlaku penipuan dalam urusniaga.

Apabila membuat pembelian online pula, pengguna harus menyiasat latar belakang peniaga agar tidak terjebak dengan penipuan.

Dalam pada itu, Jainab juga menyarankan pengguna supaya mengetahui di mana mereka boleh membuat tuntutan dan bukan hanya bergantung kepada aduan kepada KPDNKK.

Advertisement