Anda di sini

Wanita Indonesia ditahan dakwa ada bom dalam bagasi

Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang wanita Indonesia ditahan selepas mendakwa terdapat bom dalam bagasinya ketika melalui kaunter pemeriksaan Terminal Pelepasan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata wanita yang ingin menaiki penerbangan Lion Air ke Kuala Lumpur pada jam 9.45 pagi itu ditahan anggota polis bantuan sebelum diserah kepada polis.

“Imbasan awal dibuat ke atas bagasi yang dibawa tidak menunjukkan kehadiran objek bom…wanita itu kemudiannya mengatakan hanya bergurau,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan badan terhadap wanita yang masih bujang itu juga tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang dan ujian air kencing juga mendapati wanita itu negatif dadah.

Lai berkata wanita berkenaan akan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua orang awam khususnya yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara agar tidak mengeluarkan perkataan atau tanda yang menjurus kepada ugutan atau ancaman yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan pesawat.

Lai berkata sepanjang tahun lepas sehingga semalam, terdapat empat kes melibatkan penumpang mengeluarkan perkataan ugutan mengatakan terdapat bom di dalam bagasi dan menunjukkan simbol bom semasa daftar masuk bagasi di LTAPP.

“Tindakan itu ekoran rasa tidak puas hati penumpang kerana caj dikenakan terhadap bagasi yang melebihi had,” katanya. — Bernama

 

Advertisement