Anda di sini

Rekaan canggih dan jual ‘gaya hidup’ hadkan pemilikan rumah

Advertisement

PUTRAJAYA: Pembinaan rumah dengan rekaan canggih berserta ciri-ciri tambahan untuk menjual ‘gaya hidup’ akan menambahkan kos hingga mengehadkan pemilikan kepada golongan tertentu, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Pembinaan rumah yang ada kolam renang, rumah kelab dan bermacam-macam tambahan kepada ciri-ciri rumah menjadikan rumah itu terlalu mahal dan saya lihat ia menjadi trend kepada pemaju,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini semalam.

Mengulas titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang menegur tindakan pemaju kerana dilihat lebih berminat membina rumah mahal untuk mengaut keuntungan besar, Abdul Rahman mengingatkan pemaju memberi fokus kepada pembinaan rumah mampu milik kerana ia mempunyai permintaan tinggi rakyat pada masa ini.

“Pemaju seharusnya tidak hanya membina rumah ‘bertaraf lima bintang’ kerana pembinaan rumah mampu milik juga mampu memberi keuntungan berdasarkan permintaannya yang tinggi,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan boleh menasihatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghalang pemaju daripada membina rumah ‘gaya hidup’, beliau berkata sebagai sebuah negara demokrasi, kerajaan tidak boleh menghalang pemaju berbuat demikian terutamanya jika terdapat permintaan untuk rumah berkenaan.

Abdul Rahman dalam pada itu, berkata hak menyewa yang diberikan kepada warga tempatan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan ditarik sekiranya didapati rumah berkenaan disewakan kepada pihak ketiga.

Beliau berkata ia dilakukan bagi memastikan sebanyak 76,211 rumah PPR di seluruh negara bebas daripada dihuni mereka yang tidak sepatutnya terutama warga asing atau pendatang asing tanpa izin.

“Kita akan perkasakan bahagian penguatkuasaan dan mahu pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan bersama-sama menjayakan misi yang menjadi keutamaan kementerian tahun ini,” katanya, sambil menambah penyewa warga asing akan diminta mengosongkan rumah dengan tempoh maksimum sebulan diberikan.

Abdul Rahman berkata tindakan tegas itu perlu dilakukan bagi memastikan puluhan ribu pemohon yang benar-benar memerlukan rumah tersebut dapat mendiami PPR berbanding mereka yang menggunakannya secara salah untuk meraih keuntungan.

Beliau berkata walaupun tindakan itu akan membangkitkan kemarahan dalam kalangan penyewa tetapi ia berbaloi sekiranya rumah itu dapat dikembalikan kepada PBT untuk diserahkan semula kepada pihak yang benar-benar memerlukan. — Bernama

“Mungkin mereka yang dipaksa keluar akan marah tetapi percayalah puluhan ribu lagi akan bertepuk tangan kerana saya yakin rakyat akan hargai apa yang kita lakukan,” katanya. — Bernama

 

Advertisement