KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Kampung Atas Tol di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, mangsa iaitu Rusmadi Ibrahim, 40, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Atas Tol dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas makan malam bersama seorang rakan di kedai berhampiran.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Subaru dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya namun gagal, lalu merempuh mangsa.
Berikutan rempuhan kuat itu mangsa telah melambung hampir setinggi 10 meter dan jatuh ke atas bumbung sebuah perhentian bas berhampiran.
Sementara itu Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Kamaludin Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat. — Bernama