Anda di sini

Bot laju bawa 25 tong gas lpg diberkas PPM Tawau

Advertisement
 Suspek di samping barangan rampasan yang dibawanya dikawal oleh seorang anggota PPM Tawau bertugas.

DITAHAN: Suspek di samping barangan rampasan yang dibawanya dikawal oleh seorang anggota PPM Tawau bertugas.

TAWAU: Sebuah bot laju yang membawa 25 tong gas LPG terpaksa dikejar oleh bot ronda 11 Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di sini kelmarin kerana mencurigakan.

Hasilnya, PPM Tawau menemui kesemua tong gas LPG berkenaan di dalam bot terbabit sehingga membawa kepada penahanan juragan bot, seorang lelaki warga tempatan, 20.

Penahanan suspek dan rampasan kesemua barang kes terlibat dilakukan antara jam 8 dan 8.45 pagi di sekitar kawasan perairan Sg Hj Kuning, di sini.

Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata, suspek diberkas kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan yang diperlukan untuk membawa barangan terbabit.

“Pasukan kita terpaksa mengejar bot laju berkenaan sehingga ke kawasan muara Sg Hj Kuning sebelum suspek berjaya diberkas bersama-sama kesemua barang rampasan.

“Juragan bot gagal menunjukkan lesen perniagaan dan sijil kawalan bekalan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya.

Mohammad berkata, suspek dan kesemua barangan yang dibawanya termasuk bot laju dan enjin sangkut Yamaha berkapasiti 85 kuasa kuda dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.

Menurutnya, hasil kejayaan pasukannya yang menjalankan Ops Paradise itu, pihaknya berhasil merekodkan jumlah keseluruhan barang rampasan bernilai kira-kira RM32,500.

“Penahan suspek dan rampasan kesemua barangan ini dilakukan mengikut Seksyen 7 (4) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barangan kawalan tanpa permit,” katanya.

 

 

Advertisement