Anda di sini

Bayi lelaki kritikal disyaki diabai pengasuh taska

Advertisement
 Ashraf (kiri) dan isteri Siti Marlina menunjukkan gambar anak mereka Alfateh yang kini dirawat Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dalam kepala disebabkan pengabaian sebuah taska di Jitra ketika ditemui di HSB dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

HAMPA: Ashraf (kiri) dan isteri Siti Marlina menunjukkan gambar anak mereka Alfateh yang kini dirawat Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dalam kepala disebabkan pengabaian sebuah taska di Jitra ketika ditemui di HSB dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan kritikal dipercayai akibat pendarahan dalam kepala selepas didakwa diabaikan pengasuhnya di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Jitra.

Bapanya Ashraf Abdullah berkata Alfateh dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 2.40 petang kelmarin dan keadaannya masih kritikal.

Katanya beliau menerima panggilan daripada pihak taska itu pada jam 12.11 tengah hari kelmarin yang memaklumkan anak lelakinya demam.

Ashraf, 35, yang juga pensyarah di sebuah universiti awam di Perlis, kemudian ke taska itu dan mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu dalam keadaan lemah serta mempunyai kesan lebam pada dagu kiri dan kepala.

“Ketika mendapat rawatan di sebuah pusat rawatan kanak-kanak di Jitra, anak saya mengalami sawan dan keadaannya sangat kritikal. Saya diminta pakar perubatan pusat rawatan itu supaya menghantar anak saya ke HSB bagi mendapat rawatan lanjut kerana dipercayai mengalami pendarahan dalam kepala,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.

Ashraf berkata beliau amat kecewa dengan pengabaian pihak taska itu dan mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pusat asuhan itu, yang berdaftar dengan Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM).

“Saya tidak mahu anak orang lain menjadi mangsa disebabkan pengabaian pengasuh taska itu,” katanya sambil mendakwa taska itu tidak mengikut prosedur operasi standard dalam mengasuh bayinya.

Menurutnya walaupun tinggal di Changlun, beliau menempatkan bayinya di taska itu kerana ia berdekatan dengan tempat kerja isterinya Siti Marlini Md Ghuzali, 34, yang bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di sebuah sekolah di Jitra.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati taska tersebut mempunyai tiga pengasuh dan seorang daripadanya ditugaskan menjaga tiga orang bayi termasuk Alfateh.

“Kita akan tahan pengasuh itu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pegawai JKM Daerah Kubang Pasu Mohd Fadhuli Wahab berkata, pihaknya telah bertemu dengan waris bayi itu di HSB bagi melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Setakat ini, kita masih menunggu laporan dan siasatan polis untuk tindakan lanjut. Kita juga akan menghantar kaunselor untuk bertemu dengan ibu bapa bayi tersebut dan pengasuh yang terlibat akan diberi kaunseling,” katanya dalam kenyataan semalam. — Bernama

 

Advertisement