Anda di sini

Wanita dakwa diculik tiga lelaki

Advertisement

LAHAD DATU: Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diculik sekumpulan tiga lelaki bertopeng dan bersenjata, namun dibebaskan tiga jam kemudian selepas membayar wang tebusan bernilai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP. Hamzah Ahmad berkata, laporan itu dibuat pada hari Khamis oleh mangsa dan siasatan sedang dijalanakan.

Katanya, dalam laporan yang diterima, wanita berusia 44 tahun itu mendakwa rumahnya yang terletak di Kampung Silam telah didatangi oleh tiga lelaki bertopeng dengan senjata api kira-kira jam 10 malam Rabu.

Katanya, salah seorang daripada suspek kemudian bertanya sekiranya rumah yang didiaminya itu adalah dipunyai oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Haji Yusof’ namun mangsa memberitahu tidak mengenali nama itu.

Jelas Hamzah, mangsa kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda berwarna putih yang mana terdapat dua lagi lelaki di dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka memandu jauh ke Jalan Dewata dan seterusnya menuju ke Jalan Danum.

“Semasa berada di dalam kereta,mangsa mendakwa mereka mengancam untuk membunuhnya dan menuntut wang tebusan sebanyak RM50,000.

“Dia kemudian menggunakan telefon mudah alih salah seorang suspek lelaki bertopeng itu untuk memanggil saudara untuk menyediakan wang.

“Saudara-mara dan jiran-jiran beliau berjaya mengumpul sejumlah wang dan meletakkannya di persimpangan berhampiran Kampung Silam sebelum mangsa dibebaskan pada kira-kira jam 12.01 tengah malam sebelum kesemua suspek melarikan diri,” katanya.

Katanya, lagi kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan usaha mengesan kesemua suspek giat dijalankan.

Advertisement