Anda di sini

Mandur ditangkap cederakan pekerja

Advertisement
 Douglas (tengah) menunjukkan pisau Bugis yang digunakan oleh suspek menikam mangsa. Turut kelihatan ASP Lee Nyuk Kim (kiri) dan Inspektor Siti Fatimah Az Zahra Sulaiman.

BUKTI: Douglas (tengah) menunjukkan pisau Bugis yang digunakan oleh suspek menikam mangsa. Turut kelihatan ASP Lee Nyuk Kim (kiri) dan Inspektor Siti Fatimah Az Zahra Sulaiman.

KENINGAU: Polis menangkap seorang lelaki rakyat asing bekerja sebagai mandur di sebuah kem pembalakan di Kampung Sinua Sook di sini kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan pisau Bugis terhadap seorang pekerja di kem itu pada kejadian awal Januari tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong memberitahu di sini berkata, suspek yang berusia 32 tahun telah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Sementara mangsa seorang lelaki rakyat asing berusia 37 tahun dan bekerja sebagai tukang belah kayu di kem berkenaan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan keadaannya stabil.

Katanya, pada 5 Januari jam 8.17 malam satu laporan polis dibuat oleh pengadu melaporkan bahawa pada hari yang sama jam 5.40 petang semasa bertugas di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah di sini telah menerima panggilan telefon dari staf Klinik Kesihatan Kampung Mansiat Sook mengatakan terdapat seorang lelaki kena tikam dan sedang dalam perjalanan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat itu Pegawai Penyiasat Siti Fatimah Az Zahra Sulaiman bersama anggota telah pergi ke Hospital Keningau dan telah berjumpa dengan mangsa.

“Hasil pemeriksaan doktor pada badan mangsa mendapati terdapat kesan tikaman di belakang badan sebelah kanan kira-kira 1.5 sentimeter dan kesan tikaman di atas perut sebelah kiri berdekatan jantung kira-kira 1cm,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah di sini pada Jumaat.

Douglas berkata, doktor bertugas mengesyaki terdapat luka pada jantung dan berlaku pendarahan dalaman pada mangsa dan mangsa telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.

Katanya, bertindak atas maklumat pada hari yang sama kira-kira jam 11.50 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau bersama anggota Balai Polis Tulid yang diketuai oleh Inspektor Roning Mulut telah berjaya menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini.

Menurut beliau, sebilah pisau Bugis berukuran 12cm milik suspek turut dirampas.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

Advertisement