Anda di sini

Lelaki Indonesia dikehendaki polis

Advertisement
Irwan

Irwan

Suspek dipercayai dapat membantu siasatan kes bunuh Disember lalu

KENINGAU: Seorang lelaki warganegara Indonesia dikehendaki polis untuk membantu siasatan dalam kes bunuh di Kampung Bunang Sook di sini pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Douglas Nyaging Taong memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkaitan suspek dikenali sebagai Irwan Sumail, 30, bekerja sebagai buruh dan tidak memiliki dokumen, agar menghubungi balai polis yang berdekatan.

“Ini berikutan polis forensik dan unit anjing K9 hanya menemui satu kartu (kad) tenaga kerja luar negeri atas nama suspek (Irwan Sumail) di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu bahawa, pada 14 Disember tahun lalu jam 7.33 petang, pengadu Konstabel Mohd Saiful Aswadi Abdul Kadir melaporkan semasa bertugas di bilik gerakan IPD di sini telah menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan telah menemui mayat seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Bunang Sook, di sini.

Douglas berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dijumpai mati di tempat kejadian di depan sebuah pondok di ladang kelapa sawit Kampung Bunang dan tempat kejadian kira-kira 55 kilometer dari pekan Keningau.

Katanya, pemeriksaan awal mayat mangsa terdapat satu kesan tikaman kira-kira 1 sentimeter di leher kiri , satu kesan luka hiris kira-kira 3 sentimeter di lengan tangan kanan dan satu kesan tikaman kira-kira 1 sentimeter di belakang lengan kanan.

“Tempat kejadian adalah terpencil dan mayat mangsa dijumpai oleh orang kampung yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.

“Terdapat kesan tompokan darah pada pintu masuk sebuah pondok berhampiran dengan mayat mangsa yang terlantar kira-kira lima kaki dari tangga pondok berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada kediaman dan penghuni yang berhampiran dengan tempat kejadian dan tiada saksi yang melihat ketika kejadian berlaku sementara motif kejadian belum diketahui.

Katanya, pihak forensik dan unit K9 Ibu Pejabat Polis Kepayan telah dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian tetapi tidak menemui apa-apa barang kes yang berkaitan hanya kad suspek sahaja.

Douglas memberitahu bahawa, mangsa dikenali sebagai Iwan Makrasan, warganegara Indonesia dan bekerja menombak buah kelapa sawit.

“Polis masih meneruskan siasatan ke atas kes ini dan merayu orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil untuk memberikan maklumat kepada polis,” katanya.

Advertisement