Anda di sini

Bantuan dana dapat bantu pelajar miskin ringankan beban kewangan

Advertisement

PUTATAN: Melihat kesukaran hidup yang dihadapi kerana terpaksa bergantung kepada ibu saudara, seorang insan prihatin membantu AC Arsasia Sam, 15, memohon untuk mendapatkan dana menerusi Tabung Pendidikan One Place Mall.

Arsasia, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon ini berkata, keprihatinan individu terbabit yang berusaha mendaftarkan permohonannya bagi mendapatkan dana tabung pendidikan itu amat bermakna bagi dirinya.

Katanya, apabila dimaklumkan bahawa beliau akan menjadi salah seorang penerima dana itu beberapa hari lalu, beliau amat bersyukur kerana memikirkan ada beberapa peralatan persekolahan yang belum dibeli.

Dengan bantuan dana ini beliau berharap ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung ibu saudaranya dalam menguruskan persekolahannya.

Katanya, biarpun ibu turut tinggal bersama mereka, tetapi segala urusan persekolahan ditanggung oleh ibu saudara kerana keadaan ibu yang tidak mengizinkannya untuk bekerja.

Beliau berkata, beliau juga menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) serta Bantuan Thu Chi yang diberikan pihak sekolah.

“Dengan keperluan persekolahan yang semakin bertambah, saya akan memastikan bantuan-bantuan yang diterima itu digunakan sebaiknya agar segala keperluan persekolahan dapat dibeli,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Tabung Pendidikan One Place Mall, di sini kelmarin.

Arsasia ialah satu-satunya pelajar dari SMK Tebobon yang menerima bantuan tabung pendidikan berkenaan.

Sementara itu, Nur Syafiqah Azmira Khalid,16, berkata, apabila dimaklumkan mereka dua beradik layak menerima bantuan itu, ibu bapanya amat gembira mendengar mengenai berita itu.

Katanya, seorang lagi adiknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas turut menerima dana pendidikan berkenaan pada kali ini.

Menurutnya, ini adalah kali pertama mereka memohon untuk mendapatkan dana berkenaan. Permohonan itu dilakukan pada Disember tahun lalu dan mereka bersyukur kerana mereka antara ratusan pelajar yang terpilih.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan ini berkata, bantuan dana itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban bapanya yang menanggung mereka lima beradik.

Katanya, bantuan yang diterima itu dilihat dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bapanya dalam menyediakan peralatan persekolahan.

Dengan pendapatan bapanya yang bekerja sebagai buruh dan ibunya hanya seorang suri rumah, bantuan dana itu besar maknanya buat mereka sekeluarga.

“Ibu bapa saya juga bersyukur kerana kami dua beradik tersenarai sebagai penerima tabung pendidikan pada kali ini,”  katanya.

Pelajar yang memperoleh keputusan 5A dalam Penilaian Tingkatan 3 (PT3) itu menyimpan hasrat untuk menjadi seorang jurutera.

Untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, anak sulung dari lima beradik ini menyasarkan untuk memperoleh 8A.

Nur Syafiqah berharap dengan memperoleh keputusan cemerlang, ia akan membolehkan beliau menyambung pengajian dan seterusnya memperoleh pekerjaan yang baik bagi membantu meringankan beban bapanya yang bersusah payah menanggung mereka lima beradik.

Advertisement