Anda di sini

1,350 anggota PDRM bertugas sempena Persidangan CSPOC ke-23

Advertisement
 Rashid (dua kiri) berjumpa dengan beberapa anggota PDRM yang akan bertugas sepanjang persidangan CSPOC yang akan berlangsung selama lima hari bermula semalam.

LANCAR: Rashid (dua kiri) berjumpa dengan beberapa anggota PDRM yang akan bertugas sepanjang persidangan CSPOC yang akan berlangsung selama lima hari bermula semalam.

KOTA KINABALU: Seramai 1,350 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pelbagai elemen bersiap sedia menjalankan tugas sepanjang Persidangan Speakers dan Yang Dipertua Dewan Negara-Negara Komanwel (CSPOC) kali ke-23 yang bermula semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, kesemua terlibat akan melakukan pemantauan aspek keselamatan terhadap anggota dari 49 buah negara serta lebih 50 penceramah yang akan terlibat sepanjang persidangan yang bermula 9 hingga 14 Januari depan.

“Kesemua anggota akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut tanggungjawab serta peranan masing-masing yang sudah ditetapkan meliputi kawasan darat, udara serta kawasan perairan di sekitar kawasan persidangan.

“Kita juga akan memastikan program yang dijalankan termasuklah lawatan di tempat-tempat tertentu serta mesyuarat yang bakal dijayakan akan berjalan lancar melalui pengawasan serta penugasan rapi daripada anggota kita,” katanya semasa sidang media sempena Operasi 23rd CSPOC.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari Em Nadzeer.

Rashid berkata, penugasan terbabit yang bukan hanya diambil alih oleh anggota PDRM seluruh Sabah tetapi juga mendapat bantuan daripada pasukan tertentu daripada pihak luar.

“Kerjasama ini akan membantu memastikan keselamatan serta kelancaran aspek lain termasuklah perjalanan trafik, penginapan serta tempat persidangan yang bebas daripada sebarang ancaman,” katanya.

Beliau juga menyeru masyarakat setempat agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota keselamatan bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh delegasi berlangsung.

Advertisement