Anda di sini

Anggota MCPF daerah diminta lebih aktif tingkatkan kesedaran mengenai jenayah

Advertisement

JOHOR BAHARU: Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terutamanya di peringkat daerah, diminta lebih aktif menjalankan program dan aktiviti berkaitan bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap jenayah.

Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata usaha itu perlu, kerana pada masa kini jenayah semakin meluas dan daerah tidak terkecuali daripada berlakunya jenayah.

“Saya minta setiap ketua MCPF menjalankan peranan yang lebih aktif di setiap daerah negeri ini, mesti membuat program dan rancangan untuk masing-masing buat kesedaran untuk masyarakat.

Saya percaya bahawa kalau kita dapat membantu dapat tingkatkan kesedaran rakyat dan masyarakat, ini merupakan salah satu pendekatan yang amat konstruktif dan baik untuk ke arah mengurangkan kadar jenayah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.

Lee berkata antara perkara yang dilakukan bagi meningkatkan kesedaran ini termasuk mengedarkan risalah dalam empat bahasa, serta petua keselamatan kepada orang ramai, tentang cara bagaimana mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

“Bahaya dan jenayah datang dalam pelbagai cara dan wujud di mana-mana. Oleh itu masyarakat haruslah tidak cuai dan memberi ruang dan peluang kepada penjenayah berbuat jenayah. Harus belajar untuk berhati-hati dan berfikir tentang keselamatan tidak kira di mana saja,” kata beliau.

Ditanya mengenai keanggotaan MCPF di negeri ini, Lee berkata keanggotaan tidaklah dikira dari segi angka namun pihaknya lebih menitikberatkan kredibiliti individu yang ingin menyertainya.

“Permohonan menjadi ahli akan disaring oleh pihak polis untuk mengetahui latar belakang pemohon yang ingin menyertai. Pihak kami tidak sebarang mengedarkan borang dengan sesiapa sahaja yang ingin menyertai, kami tapis dulu siapa yang layak “ katanya. — Bernama

 

 

Advertisement