Anda di sini

Langkah henti sementara lombong bauksit tepat pada masanya, kata NGO

Advertisement

KUANTAN: Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) mengucap tahniah kepada kerajaan kerana mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Jan ini.

Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, tindakan itu tepat pada masanya dalam keadaan segala langkah untuk mengurangkan pencemaran berikutan aktiviti itu sebelum ini yang menemui jalan buntu.

“Cuma lagi rakyat mahu mengetahui adakah tempoh tiga bulan itu juga akan digunakan untuk membaiki infrastruktur yang telah banyak rosak dan tercemar berikutan kegiatan itu.

“Ini termasuk membaiki kembali jalan-jalan raya serta mencuci papan-papan tanda yang telah berubah warna menjadi merah sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Ali, GERAM yang mewakili suara rakyat berhubung isu itu sebenarnya sama sekali tidak pernah menentang perlombongan itu jika sekiranya ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya.

“Kita mahukan satu SOP baru diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Ia juga perlu dihebahkan kepada umum melalui media masa supaya senang untuk rakyat melaporkan sebarang masalah jika pengusaha yang terlibat tidak mengikut SOP yang ditetapkan itu,” katanya.

SOP itu katanya perlu bermula daripada proses pemberian permit, kerja-kerja pengorekan bauksit, pengangkutan sehingga kepada kerja-kerja pemunggahan bahan mineral itu ke atas kapal.

Dalam masa yang sama , beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan ‘hotline’ khas berkaitan perkara itu bagi memudahkan rakyat mengemukakan sebarang aduan yang berkenaan.

Selain itu, Penaksiran Kesan Persekitaran (EIA) juga perlu dilakukan di kawasan-kawasan perlombongan tidak kira keluasannya untuk memastikan ia tidak menimbulkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menghentikan terus aktiviti berkenaan di Pahang. — Bernama

“Ini kerana kita telah dapat lihat dengan jelas kesan pencemaran yang teruk diakibatkan oleh aktiviti perlombongan ini, bukan sahaja jalan raya serta pokok-pokok bertukar menjadi merah, malah ia turut mencemarkan punca air minuman penduduk yang sekali gus boleh mendatangkan risiko kesihatan.

Jadi kalau boleh kita memohon kepada kerajaan agar menghentikan terus aktiviti ini, kita mahukan Pahang kembali menjadi makmur dengan pemandangan yang alam sekitar yang menghijau,” katanya. — Bernama

Advertisement