Anda di sini

Jualan murah dibenarkan jika 70% barangan diberi diskaun

Advertisement

PUTRAJAYA: Jualan murah hanya boleh diadakan sekiranya 70 peratus daripada kesemua barangan dalam sesebuah premis diberi tawaran diskaun, tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kementerian itu dalam kenyataannya semalam berkata syarat jualan murah didapati telah disalahertikan sesetengah pihak dengan menyatakan ia hanya boleh diadakan jika diskaun yang ditawarkan adalah sebanyak 70 peratus.

KPDNKK turut menjelaskan jualan murah yang diadakan mestilah tidak melebihi 30 hari kecuali tarikh yang diwarta iaitu Jualan GP 1Malaysia, Karnival Jualan Mega 1Malaysia serta Jualan Akhir Tahun 1Malaysia.

“Jualan murah pilihan peniaga tidak boleh diadakan terus-menerus dan perlu berhenti selama 14 hari sebelum memulakan jualan murah seterusnya,” jelas kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan setiap peniaga yang ingin melaksanakan jualan murah perlu mendapat kelulusan daripada KPDNKK dan nombor pendaftaran jualan murah, tarikh jualan serta logo KPDNKK hendaklah dicatatkan dalam apa jua pengiklanan.

Peniaga boleh membuat permohonan notis jualan murah secara dalam talian melalui njm.kpdnkk.gov.my.

KPDNKK berkata peniaga juga perlu mempamerkan harga sebelum dan selepas diskaun pada setiap barangan yang terlibat dalam jualan murah.

Notis jualan murah hendaklah dipamerkan dan ditampal di tempat yang mudah dilihat manakala butiran barangan dan harga boleh dipamerkan dalam bentuk yang mudah dilihat pengguna.

Syarikat yang melanggar Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2015 untuk kali pertama boleh didenda sehingga tidak melebihi RM100,000 dan RM200,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Bagi pesalah individu, kesalahan kali pertama akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun dan bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, tambah kenyataan itu. — Bernama

Advertisement