Anda di sini

Cubaan seludup dadah seberat 99 kilogram tumpas

Advertisement
 Kamarudin memeriksa bahagian dalam kereta Proton Waja yang diguna untuk menyeludup  ganja selepas sidang media di pejabat Kastam Padang Besar, semalam. — Gambar Bernama

SELUDUP GANJA: Kamarudin memeriksa bahagian dalam kereta Proton Waja yang diguna untuk menyeludup ganja selepas sidang media di pejabat Kastam Padang Besar, semalam. — Gambar Bernama

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Perlis menahan sepasang suami isteri dipercayai anggota satu sindiket penyeludupan dadah dan merampas 99 kilogram ganja di Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian di sini, bulan lepas.

Pengarahnya, Kamarudin Jaafar berkata pasangan itu yang berasal dari Kedah, ditahan sebaik tiba di pos berkenaan dari negara jiran pada 27 Dis.

Katanya anggota kastam yang memeriksa Proton Waja dinaiki mereka menemui 99 ketul ganja yang dimampatkan dan disalut dengan beg plastik bernilai lebih RM148,000 dan disembunyikan dalam but kereta serta tempat duduk penumpang belakang.

“Kami juga menjumpai tiga peket plastik lutsinar berisi ganja dan serbuk kuning dipercayai heroin dalam poket seluar suspek lelaki dan beg sandangnya,” kata Kamarudin pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati dadah tersebut kemungkinan dipasarkan sehingga ke Singapura oleh satu sindiket yang aktif sejak tahun lepas.

“Pemerhatian kami mendapati ada trend anggota sindiket membawa isteri mereka semasa melakukan kegiatan penyeludupan. Modus operandi seperti ini semakin kerap digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pasangan ini menggunakan pelekat kenderaan Jabatan Imigresen pada kereta mereka agar tidak diperiksa apabila melalui laluan Unit Khas PemeriksaanPenumpang Kastam Wang Kelian tetapi taktik mereka tidak menjadi,” katanya.

Kamarudin berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis syabu.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari dari 28 Dis lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas Kastam Perlis berjaya menggagalkan tiga kes penyeludupan dadah berjumlah 137 kilogram bernilai lebih RM205,000, dan kes terbaharu pada 27 Dis lepas adalah yang terbesar.

Kamarudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan agar melaporkan kepada Jabatan Kastam di talian bebas tol 1-800-88-8855.

“Kita berbesar hati untuk memberi ganjaran wang tunai kepada pemberi  maklumat bagi setiap kes yang berjaya diselesaikan,” katanya. — Bernama

Advertisement