Anda di sini

Patuhi etika kewartawanan

Advertisement

Editor portal berita dan media massa digesa elak isu sensitif

 Jainab (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan futsal bagi kategori kanak-kanak.

TAHNIAH: Jainab (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan futsal bagi kategori kanak-kanak.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid menggesa editor yang bertanggungjawab dalam portal berita dan media massa supaya terus mematuhi etika kewartawanan.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mempunyai berbilang kaum, bangsa dan juga agama, justeru isu sensitif yang melibatkan perkauman, agama dan bangsa tidak seharusnya disensasikan kerana akan menjejaskan perpaduan di negara ini.

“Justeru, sudah tiba masanya kita saling menghormati dan bukannya memainkan isu agama serta perkauman.

“Kita juga meminta editor dan wartawan agar mengamalkan perpaduan, bertoleransi dan bukannya menulis sesuatu berita yang mengguris perasaan kaum dan agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Inter Generasi dan sambutan Tahun Baru 2016 anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), UTC Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam pada itu, Jainab juga menyokong kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa tajuk berita sepatutnya berpaksi kepada inti pati sesebuah berita kerana ia melibatkan prinsip etika kewartawanan.

Terdahulu dalam catatan terbaharu di blog miliknya iaitu sskeruak.blogspot.com, Salleh berkata sesetengah media massa dan portal berita berkecenderungan memilih tajuk berita yang lebih sensasi, kontroversi, spekulatif dan provokatif bagi menarik perhatian pembaca.

Menurutnya, pemilihan sesuatu tajuk berita itu bergantung kepada justifikasi dan integriti seseorang editor. Justeru, editor akhbar atau pengendali portal berita perlu lebih berhati-hati kerana mereka yang bertanggungjawab penuh ke atas berita yang diterbitkan.

Sementara itu, berkenaan program Inter Generasi itu, Jainab memuji usaha PAWE kerana telah mengadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan golongan kanak-kanak, belia dan juga warga emas.

Beliau turut memuji usaha PAWE UTC Kota Kinabalu yang mengadakan kelas mengaji bagi warga emas yang beragama Islam.

“Walaupun PAWE ini melibatkan ramai warga Cina, namun mereka mengadakan kerjasama dengan para ustazah bagi mengadakan kelas mengaji bagi warga emas,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi PAWE UTC Kota Kinabalu Wong Hoong Syn dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement