Anda di sini

Penghalang berpagar sekat laluan lembu, kenderaan jalan Lologubon-Ulu Tepoh

Advertisement

TENOM: Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengelolakan jalan raya Lologubon Pamilaan-Ulu Tepoh perlu mengambil inisiatif membuka pagar yang dipasang pada penghalang lembu di sempadan kedua-dua kampung itu, di sini.

Ketua Cawangan UMNO Kampung Pamilaan Ulu Augustine Linus Pawi berkata, pihaknya mendapati penduduk meletakkan pagar pada penghalang lembu itu disebabkan ruang bawah batang paip penghalang lembu telah dipenuhi pasir dan mendapan tanah.

Menurutnya, ruang bawah penghalang lembu yang penuh pasir dan mendapan tanah menyebabkan lembu dapat melewati sempadan dua kampung itu.

Tambahnya, demi menghalang lembu melewati sempadan dan merosakkan tanaman di kebun berdekatan, terdapat penduduk yang memasang pagar.

“Namun pagar yang disusun turut menghalang kenderaan yang lalu-lalang di laluan itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan membuat pagar di atas penghalang lembu sungguh tidak praktikal dan perlu diselesaikan segera.

Beliau percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan kerjasama antara dua pihak melibatkan JKR dan penduduk.

Advertisement