Anda di sini

Pendidikan agenda utama YS

Advertisement
 Sapawi bersama Bahiwata dan Zaidah merakamkan kenangan bersama sebahagian pelajar  tajaan Yayasan Sabah yang menyertai program itu.

PERKASA PENDIDIKAN: Sapawi bersama Bahiwata dan Zaidah merakamkan kenangan bersama sebahagian pelajar tajaan Yayasan Sabah yang menyertai program itu.

YS terus mainkan peranan lahir modal insan yang cemerlang

KOTA KINABALU:Yayasan Sabah (YS) akan terus memainkan peranannya dalam melahirkan modal insan yang memiliki nilai akademik dan sahsiah yang cemerlang.

Pengarahnya Datuk Sapawi Ahmad berkata, pelbagai program telah diperkenalkan oleh Yayasan Sabah dengan pembangunan pendidikan terus menjadi keutamaan.

“Yayasan Sabah akan terus melahirkan modal insan yang terbaik dari semasa ke semasa dan pendidikan tetap menjadi keutamaan,” katanya pada majlis ramah mesra dengan pelajar tingkatan satu Yayasan Sabah di Aditerium Yayasan Sabah, di Kota Kinabalu kelmarin.

Seramai 50 pelajar terlibat dalam program penghantaran ke Semenanjung dan pertukaran pelajar Sabah dan Sarawak tersebut.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Pengurus Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah Bahiwata Mulia dan Pengurus Kumpulan Kanan Cawangan Yayasan Sabah Kuala Lumpur, Zaidah Hussien.

Program yang diperkenalkan sejak tahun 1968 itu telah melibatkan lebih 10 ribu pelajar dari negeri ini dengan matlamat utama Yayasan Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1967 hasil ilham Allahyarham Tun Mustapha itu ialah memperkasakan pendidikan di negeri ini.

Sapawi berkata, program berkenaan telah banyak melahirkan modal insan yang mempunyai nilai akademik dan sahsiah yang cemerlang.

Katanya, program itu juga merupakan program integrasi nasional yang mancapai tahap tertinggi.

Menerusi program itu katanya, sudah ramai pelajar Yayasan Sabah berjaya menjawat jawatan penting dalam penjawat awam serta ada yang telah menjadi pemimpin negeri.

“Program seumpama ini mencapai keberkesanan yang membanggakan dan kita akan memastikannya berterusan dengan pembangunan pendidikan terus menjadi agenda utama Yayasan Sabah,” katanya lagi.

Advertisement