Anda di sini

Belia punya peranan bantu negara mencapai Wawasan 2020

Advertisement

TAWAU: Golongan belia adalah aset negara yang sangat berharga yang perlu dipelihara dan dididik dengan sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat berkata, belia juga merupakan bakal pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang.

Katanya, sebagai pewaris dan pembina masa depan, setiap warga belia perlu melihat peranan yang boleh mereka mainkan dalam membantu negara mencapai hasrat Wawasan 2020.

“Kita mahu golongan belia yang bertaraf pemimpin kesukarelawan dilahirkan menerusi institusi ini dan seterusnya memperkembangkan tahap kematangan mereka dalam memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kelab Belia Kampung Merotai, Tawau.

Tegas Hamisa, cabaran belia masa kini adalah amat besar dan mencabar.

Katanya, kerajaan memandang belia adalah sebagai aset yang boleh digemblengkan untuk membangunkan negara.

Jelasnya, belia perlu didik dan dibimbing supaya mereka kelak menjadi rakyat yang berguna.

Katanya, segala aktiviti yang bercorak liar perlu dibanteras agar mereka sama-sama boleh bertanggungjawab untuk membangunkan negara.

“Pertubuhan-pertubuhan yang bercorak sukarela perlu diperbanyakkan agar para belia dapat sama-sama menyumbang tenaga dan juga dapat dihindarkan mereka daripada terjerumus ke lembah yang hina seperti masalah sosial dan terlibat dalam demonstrasi yang sia-sia.

“Dasar Pembangunan Belia Negara adalah digubal bertujuan membina dan merealisasikan generasi belia yang cemerlang dan berwibawa.

Tegas Hamisa, dengan adanya Dasar Belia Negara, segala aktiviti, program yang dirancangkan mengikut prinsip-prinsip akan dilaksanakan dengan lebih teratur dan tersusun mengikut prinsip dan garis panduan yang ditetapkan.

Jelasnya, negara memerlukan pemimpin belia yang mempunyai iltizam, semangat dan motivasi serta cita-cita yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta mengubah landskap negara ke arah yang lebih baik.

“Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pemimpin muda agar menjadi ketua yang bertanggungjawab, beretika dan boleh bergantung harap sebagai generasi penyambung sekali gus menggerakkan transformasi negara.

“Dasar dan matlamat transformasi negara menyediakan peluang untuk menentukan mobiliti sosial yang lebih hebat lagi dan peluang pekerjaan serta peluang kepada golongan muda hari ini untuk masing-masing mencapai tahap maksimum mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau turut bersama-sama pada Program Jelajah Gunting Rambut Percuma dan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Merotai.

Advertisement