Anda di sini

Belia digalak menyertai politik untuk bawa perubahan kepada negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Teo Chee Kang menggalakkan golongan belia untuk menyertai politik dan parti-parti politik untuk membawa perubahan sebenar kepada negara.

Teo berkata, golongan belia tidak akan dapat membawa perubahan jika mereka hanya menggunakan media sosial untuk menyatakan pandangan mereka, komen atau rasa tidak puas hati.

Pada masa kini katanya, berbincang dan menghantar komen di media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai.

“Komen-komen negatif yang disiarkan melalui media sosial mungkin benar, mungkin palsu, dilakukan tanpa pemahaman mengenai isu itu atau terpengaruh dengan pandangan orang lain.

“Saya tidak fikir hanya pembohongan di media sosial selama 365 hari setahun akhirnya akan membawa perubahan.

Jika anak-anak muda mahu membangunkan pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu, mempunyai idea-idea bagaimana untuk mencipta Sabah atau Malaysia yang lebih baik atau ingin membuat perubahan positif, satu-satunya cara adalah untuk menyertai politik dan parti politik,” katanya.

Teo, yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah berkata, masyarakat dan persatuan perdagangan adalah kumpulan pelobi yang berusaha untuk mengejar kepentingan ahli-ahli mereka.

“Untuk membawa perubahan adalah melalui politik dan parti-parti politik,”  tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis `Malam Gen-Y Pantai Barat LDP’, di Marina Sutera Harbour Resort pada Rabu lepas.

Kira-kira 50 belia Generasi Y, terdiri daripada peguam, akauntan, arkitek, pegawai bank, jurutera dan usahawan antara lain mengambil bahagian menghadiri majlis itu bertujuan menyediakan platform bagi mereka untuk berinteraksi dan meluahkan pandangan mereka.

Para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan untuk berbincang dan mengemukakan pandangan mereka mengenai isu-isu sosioekonomi semasa, pendidikan pembangunan sistem dan juga untuk mencadangkan tiga topik forum yang mereka ingin LDP anjurkan dalam masa terdekat.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan belia Gen-Y adalah kebergantungan negara kepada minyak, kekurangan produktiviti penjawat awam, ketidakstabilan ekonomi, isu-isu keselamatan, kos hidup yang tinggi, harga hartanah mahal, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pendatang tanpa izin, Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, kenaikan harga barangan di Sabah, kualiti pendidikan, kekurangan guru di sekolah-sekolah Cina, biasiswa untuk pelajar Cina dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dari segi cadangan untuk topik forum, golongan belia itu mencadangkan parti itu untuk menganjurkan forum mengenai sistem pendidikan kebangsaan, keharmonian kaum, keselamatan, ketelusan sumbangan politik, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya.

Teo berkata, ramai beranggapan bahawa belia tidak prihatin tentang sosioekonomi, pendidikan dan politik, tetapi perbincangan dan pembentangan membuktikan bahawa ia bukan kes berkenaan.

“Malam ini, kita melihat bahawa anak-anak muda kita mempunyai cukup pengetahuan mengenai topik-topik ini,” katanya.

Mengulas mengenai penyampaian para peserta itu, Teo berkata beliau bersetuju negara kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak.

Bagi GST, beliau berkata cukai tidak akan dapat mengelakkan kenaikan harga barangan tetapi tanpanya, ekonomi kita akan menjadi lebih terjejas akibat kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata, Bajet 2015 yang dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada tahun 2014, adalah berdasarkan kepada harga minyak sebanyak AS$110 setong, tetapi kini harga telah menurun secara drastik kepada kurang daripada AS$40 setong.

“Ini banyak memberi kesan kepada pendapatan negara kita. Tanpa GST, impak kepada bajet kita akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Teo turut mengambil peluang untuk memberi taklimat kepada peserta mengenai sejarah dan penubuhan LDP.

Beliau berkata, LDP yang ditubuhkan pada tahun 1989, menyertai gabungan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1991.

“Tidak banyak parti boleh bertahan selama 26 tahun,” katanya.

Tambahan pula katanya, LDP adalah parti komponen yang paling kanan dalam BN Sabah, sambil menambah bahawa UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1992.

“Kami mengambil pandangan golongan muda mengenai isu-isu semasa dengan serius. Sebab itulah kami merancang untuk mewujudkan satu sayap Gen-Y dalam parti LDP, “katanya.

Teo berkata, golongan muda yang berumur 20 hingga 30, yang baru sahaja memasuki masyarakat, mempunyai pandangan mereka sendiri mengenai isu.

“Kami berharap untuk mengumpulkan mereka bersama-sama dan mewujudkan cara yang lebih sistematik untuk mereka berinteraksi, meluahkan pendapat mereka mengenai perubahan yang mereka ingin lihat di Sabah dan Malaysia serta isu-isu yang penting kepada mereka.”

Teo berkata, beliau menyertai LDP pada usia 24 tahun pada waktu beliau lulus dari United Kingdom dan baru sahaja memasuki sebuah firma undang-undang.

Pada masa itu, Teo mengakui bahawa dia tidak mahu menjadi seorang ahli politik sepenuh masa atau orang ternama.

Sebab beliau menyertai LDP adalah untuk bertemu lebih ramai orang dan membina rangkaian, yang perlu dan bersesuaian dengan kerjanya. Dalam parti, Teo telah berkawan dengan ramai rakan-rakan dan  berkekalan hingga ke hari ini.

“Apa yang saya ingin katakan ialah, jangan fikir anda terlalu muda untuk menyertai politik, atau politik yang kotor.

“Kita perlu lebih ramai orang muda untuk menyuntik lebih banyak tenaga positif (dalam politik), barulah kita boleh membawa perubahan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada mereka yang belum menyertai politik untuk berbuat demikian. LDP mengalu-alukan anda.

“Sementara itu, pengerusi penganjur yang juga Setiausaha Penganjur LDP Peter Chong berkata, Teo telah mengumumkan penubuhan kumpulan belia untuk mereka yang berusia di bawah 30 tahun dalam kongres parti pada bulan Oktober.

“Saya seorang ahli LDP sejak berusia 21 tahun. Sebelum itu, saya telah mengambil bahagian dalam aktiviti LDP kerana ibu saya adalah ahli parti yang aktif, “katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden LDP Senator Datuk Chin Su Phin, naib presiden Chin Shu Ying, Setiausaha Agung Datuk Yong Wui Chung, Ketua Pegawai Publisiti Albert Kok, Ahli Majlis Tertinggi Albert Ngan Yun Kiang, Ketua Pemuda Pusat Tsang Hieng Yee dan Timbalan Kerua Pemuda Chiang Bhat Sing.

Advertisement