Anda di sini

Polis Kota Kinabalu keluar 150 saman dalam ops ambang tahun baharu

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan 150 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Ambang Tahun Baharu 2016 di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam operasi bermula jam 4 petang kelmarin dan berakhir 5 pagi semalam, polis menyita 19 motosikal kerana penunggang tidak memiliki lesen.

Katanya seramai 11 pemandu dikenal pasti memandu di bawah pengaruh alkohol, sementara enam lelaki dewasa ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 setelah diperiksa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang turut terlibat dalam operasi itu.

“Polis juga menangkap dua individu lelaki yang tidak mempunyai dokumen dan seorang wanita berumur 56 tahun selain merampas 87 kotak rokok haram pelbagai jenama di kawasan Sinsuran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Selain memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah sekitar bandar raya, Chandra berkata operasi selama 13 jam itu turut memberi fokus kepada sasaran penting seperti resort dan pulau. — Bernama

 

Advertisement