Anda di sini

Polis Keningau nafi kejadian culik

Advertisement

KENINGAU: Polis Keningau menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang remaja perempuan di Keningau sepertimana yang disebarkan di laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Ain Nazri pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintenden Douglas Taong berkata, hasil siasatan lanjut polis mendapati bahawa remaja perempuan tempatan berumur 16 tahun itu yang didakwa diculik, sebenarnya telah mengikuti seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun dan telah menginap di salah sebuah hotel di sini untuk tujuan menagih dadah syabu.

Katanya, semasa serbuan dilakukan di bilik hotel itu, sepasukan anggotanya terpaksa memecahkan pintu bilik hotel berkenaan kerana kedua-dua suspek enggan membuka pintu bilik.

“Semasa tangkapan dilakukan berlaku sedikit pergelutan kerana suspek lelaki cuba melarikan diri sehingga mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan paha kanan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut didalam bilik berkenaan mendapati terdapat satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 0.20 gram yang berada di atas meja dan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Douglas berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu katanya, pemilik akaun Facebook Ain Nazri diberi amaran keras oleh pihak polis sebagai peringatan kerana telah menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat mengenai kenyataannya.

“Menyebarkan sesuatu kenyataan di laman sosial tanpa memeriksa perkara sebenar adalah salah dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

 

Advertisement