Anda di sini

Kerajaan pastikan PDRM terus cemerlang melalui penambahbaikan: Ahmad Zahid

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan perkhidmatan cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama ini akan terus diperkukuhkan menerusi usaha-usaha penambahbaikan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata beliau secara peribadi berazam untuk memastikan PDRM terus cemerlang di mata rakyat dan di persada negara ini.

“Pihak kerajaan sentiasa beri keprihatian terhadap perkhidmatan dalam PDRM. Saya tahu ada IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) yang bangunannya daif, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) dan balai, apatah lagi. Kuarters pun daif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Sambutan Penubuhan Unit Tindakan Khas (UTK) yang ke-41 di Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan Cheras, di sini semalam.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, telah memberi peruntukan untuk menaik taraf IPK, IPD dan kuarters sebagai tanda penghargaan kepada usaha PDRM, sewaktu pembentangan Bajet 2016 Oktober tahun lepas.

“Insya-Allah saya secara peribadi akan pantau pengumuman (berkenaan PDRM) terutama yang tercatat dalam Rancangan Malaysia ke-11 atau Belanjawan (Bajet 2016),” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan memikirkan perkara yang lebih baik untuk PDRM termasuk penambahbaikan beberapa jabatan di bawah PDRM.

“Seperti (yang pernah diumumkan sebelum ini) bahagian trafik akan dijadikan sebagai jabatan sendiri dan ada pengarah sendiri. Tiap-tiap IPK dan IPD ada pegawai lantikan… ini akan beri kenaikan pangkat kepada pegawai dan anggota trafik,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan komitmen beliau untuk terus membantu semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya akan letak dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya. Saya akan bantu supaya prestasi KDN dan jabatan terutama PDRM berada pada tahap yang tinggi,” katanya. — Bernama

Advertisement