Anda di sini

Kelahiran cahaya mata serikan sambutan tahun baharu

Advertisement
  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar (empat kanan) bergambar dengan ibu bapa bayi yang lahir pada Tahun Baharu 2016 ketika melawat Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

UNTUK ALBUM: Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar (empat kanan) bergambar dengan ibu bapa bayi yang lahir pada Tahun Baharu 2016 ketika melawat Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baharu 2016 nyata lebih ceria dan bermakna kepada pasangan suami isteri yang dikurniakan cahaya mata, terutamanya kepada pasangan yang pertama kali berstatus sebagai ibu dan bapa.

Tinjauan Bernama di beberapa hospital di seluruh negara, kegembiraan mereka yang dikurniakan cahaya mata itu jelas terpancar dengan turut diraikan bersama para petugas hospital.

Di KUALA LUMPUR, sebanyak 17 bayi yang terdiri daripada 10 bayi lelaki dan tujuh perempuan, dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setakat jam 3:45 petang semalam.

Bayi pertama tahun baharu di HKL itu dilahirkan jam 3.41 pagi semalam seberat 3.1 kg.

Ia merupakan penantian selama lima tahun pasangan Surina Aziz, 32, dan suami Saiful Rizam Yahya, 33, untuk memiliki cahaya mata perempuan selepas memiliki dua anak lelaki sebelum ini.

“Dua lagi anak kami sebelum ini lelaki, jadi memang dari awal saya tidak buat imbasan jantina takut terlalu mengharap. Ini sepatutnya dijadualkan lahir  8 Jan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Di PUTRAJAYA, seramai 10 bayi dilahirkan di Hospital Putrajaya setakat 12 tengah hari semalam melibatkan tujuh bayi lelaki dan tiga bayi perempuan.

Seorang ibu muda Nadiah Mulbi, 25, tidak menyangka akan menimang bayi sulungnya tepat pada detik jam 12 tengah malam tahun baharu ketika melakukan pemeriksaan berkala terhadap kandungannya yang berusia lapan bulan, kelmarin.

“Ketika menjalankan pemeriksaan, doktor mendapati air ketuban saya sudah berkurangan dan saya mengalami ‘pengecutan’. Jadi doktor membuat keputusan supaya saya bersalin melalui pembedahan dengan segera,” kata suri rumah itu kepada pemberita ketika ditemui di wad bersalin Hospital Putrajaya, semalam.

Bayi lelaki seberat 2.50 kilogram yang bakal dinamakan Muhammad Qaisar Izzrayyan Muhammad Fairuz itu, dijadualkan lahir pada 3 Feb depan.

Di KEDAH,  seorang ibu muda, Nikki Racil, 15, antara 10 ibu yang melahirkan bayi masing-masing di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal pagi semalam.

Nikki, suri rumah dari Sungai Tiang, Pendang merupakan ibu pertama yang melahirkan bayi lelaki seberat 2.9 kilogram kira-kira jam 12.27 pagi semalam.

“Saya bersyukur kerana selamat melahirkan anak sulung dan saya tunggu suami Narong Rid Prasit, 17, terlebih dahulu sebelum memberi nama yang sesuai untuk anak,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2014.

Pengarah HSB Dr Zorina Khalid berkata sehingga jam 7.25 pagi semalam sebanyak 10 bayi terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan telah dilahirkan.

Di BUTTERWORTH, impian seorang ibu muda untuk melihat anaknya dilahirkan pada hari pertama tahun baharu 2016 tercapai selepas sentiasa ‘bercakap’ dengan kandungannya supaya bersalin pada hari pertama tahun baharu.

“Saya setiap hari ‘bercakap’ dengan baby supaya keluar 1 Jan. Saya gembira baby dilahirkan pada hari ini (semalam) tepat jam 11 pagi semalam. Saya sangat gembira,” kata Ooi Ean Ching, 23, yang melahirkan anak perempuan seberat 2.7kg di Hospital Pakar Bagan, di sini.

Di SELANGOR, seramai lapan bayi tahun baharu yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan telah dilahirkan setakat jam 11 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Di PAHANG,  Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. berkata seramai 28 bayi tahun baru dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini setakat 10 pagi semalam.

Di SEREMBAN, sebanyak lima bayi perempuan dan tiga lelaki dilahirkan setakat jam 8.47 pagi semalam di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Di MELAKA seramai 24 bayi dengan 13 daripadanya lelaki, dilahirkan di Hospital Melaka di sini sehingga jam 12 tengah hari semalam, kata Pengarah Hospital Melaka Datuk Dr Za’aba Baba.

Di KOTA BAHARU, seramai 22 bayi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sehingga jam 4 petang semalam, kata Pegawai Perhubungan Awamnya Zaid Ahmad.

Di PERAK, sebanyak 14 bayi dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB), sehingga jam 11.37 pagi semalam, kata Pegawai Perhubungan Awam HRPB Normah Mohd Tahir. — Bernama

Advertisement