Anda di sini

Pemberian rebat GST kad prabayar dialu-alukan

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) memuji kesepakatan kerajaan dan syarikat telekomunikasi memberikan rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad prabayar setelah isu itu berlarutan sejak GST dilaksanakan pada 1 April lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata dianggarkan 20 juta warganegara Malaysia akan menikmati faedah rebat GST bagi kad prabayar bermula 1 Jan sehingga 31 Dis 2016.

Presiden CAPS James Bagah berkata langkah tersebut merupakan satu daripada usaha untuk meringankan beban pengguna yang terpaksa menanggung GST dikenakan syarikat telco (telekomunikasi) ke atas pembelian kad prabayar.

“CAPS amat mengalu-alukan keputusan itu,” katanya kepada Bernama, semalam.

Bagaimanapun, James mahu syarikat telekomunikasi memperbaiki, sekali gus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan di Sabah memandangkan pihaknya banyak menerima aduan berhubung kualiti dan liputan disediakan kurang memuaskan terutama jalur lebar.

“Mutu perkhidmatan perlu dipertingkat agar kos dibayar pengguna adalah berbaloi dengan perkhidmatan disediakan,” katanya.

Di TAWAU, keputusan pemberian rebat GST itu turut disambut positif oleh golongan belia di daerah berkenaan yang menyifatkan ia sebagai keputusan yang memberi nafas lega kepada pelanggan prabayar.

Affendy Abdullah, 28, berkata keputusan itu juga menunjukkan kerajaan mendengar keluhan dan permintaan rakyat.

Norani Semah, 23, pula berkata langkah pemberian rebat itu merupakan inisiatif yang perlu dihargai meskipun mengambil tempoh lama untuk mendapatkan faedah itu dan selepas ini tidak lagi timbul isu GST dalam kad prabayar.

“Kita perlu hargai usaha kerajaan dan syarikat telekomunikasi yang mahu memastikan semua pihak termasuk rakyat ‘menang-menang’ dalam hal ini,” katanya.

Di PUTRAJAYA, pengguna Hendri Yanti Zainal Ariffin, 30, juga mengalu-alukan langkah pemberian rebat itu bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun, katanya syarikat telco perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai kaedah pelaksanaan rebat itu memandangkan masih ramai pengguna yang tidak memahami bagaimana mereka akan mendapat rebat tersebut.

“Bermula esok (hari ini) bagi kad prabayar RM10, pengguna mendapat rebat masa berbual RM9.43 dan syarikat telco memulangkan semula RM0.57 dalam tempoh 24 jam setelah dipastikan nombor tersebut didaftarkan atas nama warga Malaysia. Bagaimana pengguna dapat memastikan bahawa rebat itu sudah dimasukkan oleh telco?,” katanya.

Bagi Nur Syazwani Mohd Nasiruddin, 31, pula berkata GST tidak sepatutnya dikenakan ke atas kad prabayar memandangkan kebanyakan penggunanya adalah golongan berpendapatan rendah serta pelajar pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

Bagaimanapun, katanya syarikat telekomunikai juga perlu menambah baik perkhidmatan yang diberikan termasuk menyelesaikan isu liputan jalur lebar.

“Sesetengah negara yang kurang maju daripada Malaysia seperti Vietnam mampu memberikan perkhidmatan yang baik pada kadar yang murah, jadi syarikat telco sepatutnya boleh lakukan perkara sama seperti yang dijanjikan dalam iklan-iklan mereka,” katanya kepada Bernama. — Bernama

 

Advertisement