Anda di sini

Pelaksanaan rebat GST dipantau

Advertisement

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau pelaksanaan rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna perkhidmatan prabayar telefon mudah alih, bermula hari ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata SKMM akan memastikan kelancaran pelaksanaan rebat itu, dan pada masa sama, meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan.

“SKMM akan memastikan proses pemberian rebat kepada pengguna dikreditkan dengan segera ataupun dalam tempoh waktu bertindak maksimum iaitu 24 jam,”katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata SKMM boleh mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi yang ingkar mematuhi Panduan Peraturan Berhubung Pendaftaran Pengguna Akhir bagi Perkhidmatan Selular Awam Prabayar.

Proses pendaftaran itu membolehkan SKMM membezakan pendaftaran antara warganegara Malaysia dan bukan warganegara, katanya.

Dari Januari hingga Disember tahun ini, SKMM mengeluarkan 50 kompaun berjumlah RM2.29 juta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi kerana kesalahan pendaftaran palsu kad sim prabayar.

Bagi sebarang aduan, pengguna boleh menghubungi Talian Hotline Aduan SKMM di 1-800-188-030 atau pihak penyedia perkhidmatan. — Bernama

 

Advertisement