Anda di sini

Najib dan Ab Rauf berjaya batalkan saman Anina berhubung derma RM2.6 bilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja parti, Datuk Ab Rauf Yusoh semalam berjaya membatalkan saman yang difailkan bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin terhadap mereka berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan Anina tidak mempunyai kausa untuk memulakan tindakan undang-undang berkenaan kerana dia bukan pegawai awam atau pemegang jawatan dalam UMNO.

Beliau memerintahkan Anina selaku plaintif membayar kos RM5,000 kepada setiap seorang defendan (Najib dan Ab Rauf).

Mohd Zaki berkata beliau bersetuju dengan hujahan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib dan Ab Rauf bahawa mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966, sebarang prosiding terhadap sesebuah pertubuhan atau pemegang jawatannya hanya boleh dibawa oleh pegawai awam atau pemegang jawatan dalam pertubuhan itu.

“Fakta yang jelas ialah plaintif bukanlah pegawai awam UMNO dan pemegang jawatan dalam UMNO, dalam keadaan sedemikian plaintif tidak mempunyai kapasiti untuk membawa tindakan ini,” katanya.

Mohd Zaki berkata untuk mengekalkan dan meneruskan samannya itu, Anina mestilah seorang pegawai awam dan pemegang jawatan dalam UMNO, tetapi dalam kes ini Anina bukan lagi anggota UMNO selepas keanggotaannya dalam UMNO telah gugur apabila memfailkan saman mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan parti.

Berhubung persoalan sama ada bolehkah seseorang yang bukan anggota pertubuhan membawa tindakan ke mahkamah bagi mewakili orang ramai untuk menguatkuasakan tanggung-jawab yang gagal dilakukan pertubuhan itu, Mohd Zaki berkata sesuatu yang hendak dikuatkuasakan itu mestilah mempunyai kepentingan awam dan bukan sekadar isu dalaman parti.

“Berdasarkan penyata tuntutan dan afidavit plaintif (Anina), saya dapati perkara yang diminta oleh plaintif untuk dikuatkuasakan atau dilakukan oleh UMNO adalah urusan dalaman pertubuhan itu.

“Perkara yang hendak dikuatkuasakan itu tidak menjadi kepentingan awam, walaupun tidak dinafikan setiap anggota UMNO mempunyai kepentingan tetapi bukan semestinya menjadi kepentingan orang awam keseluruhannya,” katanya.

Mohd Zaki berkata berdasarkan alasan itu, beliau mendapati writ dan penyata tuntutan Anina adalah jelas tidak dapat di-pertahankan.

“Selepas pertimbangkan permohonan ini, afidavit dan hujahan kedua-dua pihak, saya dapati tindakan plaintif ini tidak mempunyai kausa, oleh itu saya membenarkan permohonan kedua-dua defendan dengan kos,” kata-nya. — Bernama

 

Advertisement