Anda di sini

JKR diminta segera baiki jambatan rosak di Matunggong

Advertisement

 Beginilah keadaan jambatan Kampung Mogong yang telah rosak.

PERLU TINDAKAN: Beginilah keadaan jambatan Kampung Mogong yang telah rosak.

MATUNGGONG: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta segera membaiki beberapa jambatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong yang sudah usang dan membahayakan pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong Dato Jelani Hamdan berkata, terdapat sesetengah jambatan yang dibina dengan kayu telah rosak teruk dan perlu pembaikan segera.

Beliau mengambil contoh jambatan kayu Kampung Mogong , jambatan Kampung Pinawantai dan Kampung Angkob yang telah mengalami kerosakan teruk dan bahaya dilalui oleh kenderaan.

“Saya minta pihak JKR agar selalu memantau keadaan jambatan-jambatan di kawasan Matunggong terutama jambatan kayu yang telah usang dan segera membaiki yang telah rosak.

“Jika dibiarkan jambatan kayu yang telah rosak tanpa pembaikan, ia akan membahayakan pengguna jalan raya terutama kenderaan yang melalui jambatan itu”, katanya ketika meninjau keadaan jambatan Kampung Mogong bersama penduduk kampung, di sini, kelmarin.

Jelani turut meninjau keadaan jambatan Kampung Nangka yang hampir rosak.

Beliau berharap pihak JKR lebih mengambil berat terhadap keadaan jambatan dan jalan raya di kawasan Matunggong yang masih dalam keadaan menyedihkan kerana hampir keseluruhan masih usang dan gravel.

“Rakyat di kawasan Matunggong juga layak menikmati kemudahan asas yang lebih bagus seperti jalan raya, jambatan dan bekalan air jika jabatan yang berkaitan menjalankan tugas dan bertanggungjawab mereka dengan penuh komitmen dan dedikasih”, tegasnya.

 

Advertisement