Anda di sini

Anak anggota polis maut jatuh kuarters IPD Selama

Advertisement

TAIPING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga flat kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Selama, DSP Loo Lian Lay berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, Aqeef Nifael Sharhafizie Afzal, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kanan kepala.

Difahamkan mangsa bersama ibu dan bapanya baru pulang dari bercuti, katanya.

“Dipercayai mangsa bersama ibunya naik ke rumah mereka di tingkat tiga sementara bapanya dan seorang lagi anaknya sedang mengemaskan barang di kereta.

“Ketika bapa mangsa berjalan di koridor untuk ke lif, tiba-tiba mangsa terjatuh dari atas ke tepi longkang blok itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

“Hasil pemeriksaan awal daripada pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kanan kepala,” kata Loo.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selama untuk bedah siasat dan jenazahnya akan di bawa ke kampung ibu bapanya di Sungai Petani, Kedah untuk dikebumikan. — Bernama

 

Advertisement