Anda di sini

Penunggang motosikal maut digilis tayar lori treler

Advertisement
 Motosikal yang ditunggang Tambrin rosak teruk akibat terperosok ke bawah lori treler.

MAUT: Motosikal yang ditunggang Tambrin rosak teruk akibat terperosok ke bawah lori treler.

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis tayar sebuah lori treler di Jalan Station 26-27, Ladang Baru Brumas, di sini kira-kira jam 8.30 pagi, kelmarin.

Mangsa dikenali Tambrin Irwan, 28, warga tempatan yang maut di lokasi kejadian dipercayai cuba mengelak daripada gajah yang melintas sebelum bertembung lori treler terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus mengesahkan polis ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan berhubung kes itu masih dijalankan.

“Penunggang motosikal itu cedera parah di kepala dan turut mengalami kecederaan lain yang belum dikenal pasti,” katanya di sini.

Fadil berkata pemandu lori treler tanpa muatan balak terbabit adalah seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan mendapati lori treler yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Kongsi 8 Ladang Brumas, sebelum kejadian.

“Bagaimanapun, lori treler berkenaan tidak diberikan laluan semasa cuba memintas motosikal itu di lokasi kejadian sebelum ada gajah yang muncul melintas jalan.

“Kemunculan gajah itu menyebabkan Tambrin berpatah balik namun bertembung dengan lori treler terbabit yang tidak sempat mengelak kerana jarak yang dekat,” katanya.

Beliau berkata penunggang motosikal yang terperosok ke bawah lori treler dengan motosikal yang ditunggangnya itu digilis oleh tayar hadapan lori treler terbabit.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan polis sudah melawat, membuat lakaran dan merakam gambar di lokasi kejadian serta mengambil sampel darah pemandu lori treler.

“Bedah siasat mayat penunggang motosikal itu sudah dijalankan pada jam 2.40 petang tadi (kelmarin) dan pemandu lori treler terbabit masih ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan terhadap kes kemalangan maut ini dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Advertisement