Anda di sini

Malaysia capai tahap sara diri susu lima tahun lagi

Advertisement

Perlu sedikit pelaburan untuk sistem pengeluaran yang baik

 Ahmad Shabery memberi rumput kepada lembu betina sambil diperhatikan oleh Pengurus Ladang Ternakan Evergreen Livestock Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock, semalam. — Gambar Bernama

SUSU SEGAR: Ahmad Shabery memberi rumput kepada lembu betina sambil diperhatikan oleh Pengurus Ladang Ternakan Evergreen Livestock Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock, semalam. — Gambar Bernama

KENINGAU: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yakin Malaysia berupaya mencapai tahap sara diri bekalan susu dalam tempoh lima tahun akan datang melalui sistem pengeluaran yang baik serta peruntukan modal sewajarnya.

Beliau berkata bekalan susu negara kini masih banyak bergantung kepada import iaitu kira-kira 20 juta liter setahun dari negara seperti New Zealand dan Australia.

“Saya menjangkakan bahawa keperluan susu kita daripada terlalu bergantung kepada import dapat dipenuhi dalam masa lima tahun kalau kita dapat bangunkan suatu sistem yang betul serta berkesan. Ianya adalah sesuatu yang dalam jangkauan kita.

“Ia memerlukan sedikit pelaburan daripada kerajaan dan komitmen daripada kalangan pengusaha dan juga tempat yang sesuai untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock di Kampung Bomboi dekat sini semalam.

Menurut Ahmad Shabery, sekiranya bilangan lembu tenusu di negara ini dapat ditingkatkan sebanyak kira-kira 10,000 ekor berbanding bilangan minimum sekarang dengan menggunakan model pengeluaran sedia ada serta pengusaha lembu tenusu yang berkebolehan, Malaysia berupaya mengeluarkan susu lembu sehingga 30 juta liter setahun.

Ahmad Shabery berkata jumlah pelaburan yang diperlukan bagi memenuhi sasaran berkenaan termasuk penyediaan infrastruktur yang dianggarkan sebanyak RM200 juta.

“(Mekanismenya), kita mempunyai suatu model penternakan yang betul dan model itu kita sudah ada di sini. Keduanya kita dapat menambahkan bilangan peserta ternakan lembu tenusu yang membina sistem pengusahaan berdasarkan model yang betul. Apa yang di Keningau ini kita rasakan adalah pencapaian yang luar biasa.

Ia bukan soal wang sahaja tetapi pengalaman dan komitmen,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, selain faktor jumlah pengusaha, sistem logistik juga perlu diambil kira dan dibangunkan termasuk dalam pengedaran susu dan sebagai contoh susu yang dihasilkan di Sabah perlu sampai di Semenanjung dalam tempoh sehari.

Mengenai kemampuan Sabah dalam industri tenusu, beliau yakin model perusahaan yang dibangunkan di Sabah adalah baik selain kesesuaian negeri itu khususnya Keningau dalam industri berkenaan.

Katanya model ternakan lembu tenusu di Sabah telah diuji dan ternyata menghasilkan suatau hasil yang membanggakan.

“Jadi saya fikir kerajaan Sabah akan memberikan suatu tumpuan yang fokus kepada pengeluaran lembu susu dan daging kerana lembu susu juga boleh menghasilkan daging,” katanya.

Ahmad Shabery berkata pada masa ini pembekal daging tempatan cuma mampu memenuhi 30 peratus keperluan daging negara manakala selebihnya diimport. — Bernama

Advertisement