Anda di sini

Jemputan Asean: Malaysia ke suku akhir

Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 14 tahun (B-14) negara mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Jemputan Asean Dream di Bangkok, Thailand setelah melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan A.

Pada aksi ketiga di Padang Latihan Muangthong United hari ini, Malaysia yang diwakili pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor mencatat kemenangan 3-0 ke atas wakil tuan rumah, Osotspa M150.

Penyerang Mohamad Khussaini Adli Mohd Yusof muncul wira skuad negara selepas menjaringkan hatrik pada minit ke-18, 30 dan 60 pada perlawanan itu.

Skuad kendalian jurulatih Richard Scully itu bakal menamatkan aksi pusingan awal menentang wakil Jepun, Nagoya Grampus, semalam.

Untuk rekod, Malaysia meraih dua kemenangan awal pada aksi pembukaan pada Ahad menerusi kemenangan 4-0 ke atas wakil Jepun, Albirex Niigata sebelum menundukkan satu lagi wakil tuan rumah, Port FC 5-0.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada setiap empat kumpulan layak ke suku akhir manakala pasukan tempat ketiga dan keempat kumpulan akan beraksi dalam saingan kalah mati bagi menentukan kedudukan kesembilan sehingga ke-16.

Pasukan yang menduduki tangga tercorot dalam setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi 17-20.

Edisi kedua kejohanan itu disertai 20 pasukan terdiri daripada enam kelab dari Jepun, 12 dari Thailand serta dua pasukan jemputan iaitu skuad B-14 negara dan PVF Vietnam. — Bernama

Advertisement