Anda di sini

Rajagobal masih ‘belum puas’

Advertisement
 Para pemain mendengar tunjuk ajar ketika menghadiri sesi latihan pertama bersama Rajagopal (kanan) di Padang C, Kuching semalam.

LATIHAN: Para pemain mendengar tunjuk ajar ketika menghadiri sesi latihan pertama bersama Rajagopal (kanan) di Padang C, Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak masih memburu dua pemain import bagi mengisi kekosongan slot sebelum memulakan saingan Liga Malaysia musim depan.

Pengurus pasukan, Abdullah Julaihi berkata pihaknya kini dalam proses menilai beberapa calon import asing untuk diserapkan dalam senarai pemain yang akan bersama skuad Ngap Sayot musim depan.

Setakat ini, kelibat bekas import tonggak tengah, Ronald Hikspoors giat menyertai latihan bersama skuad Sarawak.

“Ronald (Hikspoors) sedang mengikuti latihan bersama skuad kita untuk dinilai dari segi aspek kecergasan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad Sarawak di Padang C, di sini semalam.

Latihan pasukan Sarawak buat pertama kalinya dikendalikan oleh ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal semalam.

Abdullah mendedahkan, dua lagi calon import akan tiba di Kuching hari ini bagi menyertai kem latihan untuk mengisi kekosongan di bahagian pertahanan.

“Dua lagi import akan tiba esok (hari ini) iaitu pemain dari Itali dan Liberia bagi mengisi slot pemain pertahanan,” jelasnya.

Mengulas lanjut berhubung pemain tempatan, Abdullah berkata pihaknya tidak akan tergesa-gesa mendapatkan khidmat pemain-pemain tempatan.

“Kita mempunyai ramai pemain tempatan yang berkualiti malah mempunyai masa yang cukup untuk menyerapkan mereka dalam skuad Sarawak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu pengambilan pemain Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim, Abdulah berkata: “FAS mendapatkan khidmat pemain itu berlandaskan saluran yang betul”.

Beliau berkata, segala keputusan berkenaan perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat penilaian.

Bercakap tentang aksi pramusim, Abdullah memberitahu belum ada tarikh tetap untuk perlawanan persahabatan pra-musim sebagai persiapan menghadapi saingan liga yang bakal disingkap tirainya pada Februari depan.

 

 

Advertisement