Anda di sini

LKIM akan bina pusat sejuk beku ikan terbesar di Sabah

Advertisement

Tempat pengumpulan tangkapan ikan untuk pasaran luar

SEMPORNA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mewujudkan sebuah pusat sejuk beku ikan yang pertama di negeri ini bernilai RM250,000.

Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pusat yang akan diadakan di Sandakan itu akan menjadi tempat penyimpanan ikan terbesar di Sabah dan sebagai tempat pengumpulan tangkapan ikan nelayan di seluruh negeri untuk pasaran luar.

“Sabah kaya dengan hasil laut, LKIM mahu terus membantu nelayan di Sabah kerana negeri ini syurga ikan. Jadi, kita ambil inisiatif ini bagi membantu mengukuhkan industri perikanan di negeri ini sekaligus membantu sosioekonomi para nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja LKIM dan Pemimpin Nelayan Wilayah III Tawau di sini malam kelmarin.

Katanya, pusat sejuk beku berkenaan juga akan dijadikan contoh kepada lebih banyak pusat seumpamanya untuk diwujudkan di kawasan lain di seluruh negara.

Irmohizam berkata sekiranya model ini berjaya, ia akan dijadikan contoh bagi membantu nelayan kerana industri perikanan adalah warisan negara yang perlu dijaga dan dibangunkan.

Sementara itu, beliau berkata isu bantuan pembinaan dan pemberian rumah kepada para nelayan memerlukan kajian dan mekanisme lebih baik agar semua nelayan mendapat layanan yang sama.

“Kerajaan sentiasa berusaha membela nasib para nelayan dengan pelbagai bantuan yang disalurkan. Boleh buat perbandingan nelayan negara ini dengan negara lain kerana kerajaan Barisan Nasional sentiasa prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para nelayan agar sentiasa berusaha melangkah jauh ke hadapan dan komited meningkatkan pendapatan masing-masing untuk mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.

Pada majlis itu, Irmohizam turut menyampaikan sumbangan tiga peratus jualan minyak PNK Semporna, Kunak dan Tawau kepada Persatuan Nelayan Negeri Sabah serta mangsa pencerobohan Lahad Datu di Semporna, Kunak dan Lahad Datu. — Bernama

Advertisement