Anda di sini

Tambah mesin hemodialisis di hospital kerajaan: Lee

Advertisement

Kem. Kesihatan digesa memandang serius masalah berkenaan

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah, Lee Pun Yee merayu kepada Kementerian Kesihatan agar memandang serius masalah kekurangan mesin hemodialisis di hospital di Sabah.

Gesaan itu dibuat memandangkan kos rawatan dialisis di pusat dialisis swasta terlalu mahal.

Menurut statistik, caj rawatan di klinik swasta adalah RM200 setiap kali. Jika  seseorang pesakit perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu, maka kos rawatan mencecah RM600.

“Ini merupakan satu bebanan berat kepada golongan yang berpendapatan rendah,” kata Lee, sambil menyatakan kekurangan mesin hemodialisis bukan satu masalah baru di negeri ini.

Beliau berkata walaupun masalah ini sudah diketengahkan oleh pertubuhan sukarela dan orang ramai sebelum ini, namun pihak Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) hanya dibekalkan dengan 10 mesin.

“Bagaimana jumlah mesin ini mampu menampung bilangan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

“Statistik menunjukkan terdapat 14,040 pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di QEH 1 setiap tahun,” ujar Lee.

Sementara itu, seorang pegawai perubatan bahagian dialisis memberitahu bahawa 10 mesin yang ada hanya dapat digunakan oleh 30 pesakit setiap hari mengikut giliran, iaitu dari jam 7-10 pagi, jam 11 pagi-3 petang dan jam 3 petang – 7 malam.

Sementara itu, Lee melahirkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pegawai perubatan yang kurang mesra dan kurang prihatin terhadap pesakit dan keluarga pesakit.

Katanya, sikap negatif mereka sedikit sebanyak boleh mengganggu emosi pesakit.

Namun Lee juga memuji kakitangan hospital yang bertanggungjawab dan dedikasi dalam menjalankan tugas mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan QEH1 akan meneruskan perkhidmatan yang cemerlang demi kebajikan dan kebaikan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah menangguhkan seminar isu Sino Native yang sepatutnya dijadualkan pada 21 Disember ini sehingga 25 Januari tahun depan atas sebab-sebab tertentu.

Lee berkata seminar itu bertujuan meninjau dan membincang isu proses pengeluaran serta pengesahan sijil anak negeri, kad pengenalan, sijil kelahiran dan sebagainya.

Katanya, ahli jawatankuasa persatuan sebulat suara bersetuju menjemput Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Dato Ismail  Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Ahmad Shah Mohd Talip dan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia, Nordin Kasim Madating sebagai penceramah undangan pada hari berkenaan.

“Selain itu, Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin merangkap Pengerusi BN Penampang turut dijemput menjadi tetamu kehormat. Beliau juga sudi menyediakan tempat seminar dan tajaan makanan ringan,” katanya.

Beliau berharap pegawai kerajaan, ketua kampung, JKKK, Pegawai Daerah, pihak-pihak yang berkepentingan, NGO dan orang ramai meluangkan masa menghadiri seminar berkenaan kelak.

Advertisement