Anda di sini

Pemantauan ketat pastikan tiada penipuan dalam SIFT 2016

Advertisement

 Wilfred (empat kiri) bersama Rick (tiga kiri) dan Albert (tiga kanan) mempromosikan SIFT 2016 yang akan berlangsung pada 19-24 April 2016.

PROMOSI SIFT 2016: Wilfred (empat kiri) bersama Rick (tiga kiri) dan Albert (tiga kanan) mempromosikan SIFT 2016 yang akan berlangsung pada 19-24 April 2016.

KOTA KINABALU: Bagi memastikan penganjuran Pertandingan Memancing Antarabangsa Sabah (SIFT) 2016 berjalan lancar tanpa ada sebarang aduan berkaitan penipuan, Persatuan Pengail Sabah (SAA) akan memastikan setiap bot yang menyertai pertandingan itu dipantau oleh seorang warden.

Presiden Persatuan Pengail Sabah (SAA) Datuk Wilfred Lingham berkata, berikutan aduan yang diterima daripada peserta SIFT pada tahun ini maka persatuan itu memutuskan untuk melakukan pemantauan secara ketat kepada semua peserta yang menyertai pertandingan itu pada masa akan datang.

Katanya, penganjur tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peserta yang cuba melakukan penipuan ketika menyertai pertandingan itu.

“Bermula pada tahun hadapan, penganjur akan lebih tegas dalam memastikan tiada penipuan yang berlaku kerana ia hanya akan menjejaskan penganjuran pertandingan berkenaan.

“Dengan kecanggihan terknologi yang ada sekarang, bukti dalam bentuk gambar dan video boleh dirakam oleh peserta lain sekiranya ada pihak yang cuba melakukan penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengajuran Pertandingan Memancing Antarabangsa Sabah (SIFT) 2016 Terumbu Layang-Layang, di sini kelmarin.

SIFT 2016 akan diadakan pada 19 hingga 24 April 2016. Tempoh pertandingan dipanjangkan kepada enam hari bagi membolehkan peserta mempunyai masa yang cukup untuk menangkap ikan.

Ia kerana terdapat aduan daripada peserta tahun ini bahawa tempoh lima hari tidak mencukupi kerana perjalanan sehala ke Terumbu Layang-Layang memerlukan 18 jam.

“Dengan itu, mengambil kira pandangan berkenaan, SAA memutuskan untuk memanjangkan tempoh pertandingan daripada lima kepada enam hari,” katanya.

Wilfred berkata, hadiah bagi juara SIFT kekal RM25,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan RM5,000.

Pemenang di tempat keempat hingga keenam pula masing-masing akan menerima RM500. Secara keseluruhannya, hadiah wang tunai yang ditawarkan berjumlah RM60,000.

Semua pemenang SIFT 2016 masing-masing akan menerima sijil penghargaan serta hadiah sampingan lain.

Setakat ini, seramai 100 orang mengesahkan penyertaan mereka dalam SIFT 2016.

Peserta yang sudah mengesahkan penyertaan setakat ini adalah dari Macau, Singapura, Brunei, Dubai, Miri Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Menjelang tarikh tutup penyertaan pada 12 Mac, penganjur menjangka penyertaan yang diterima akan mencecah 150 orang.

Manakala, untuk peserta yang tidak berhasrat memancing di kawasan Terumbu Layang-Layang, mereka diberikan tempoh sehingga 17 April 2016 bagi menghantar borang penyertaan kepada sekretariat.

Wilfred berkata, semua peserta diingatkan agar tidak menangkap spesies ikan billfish, mameng (humphead wrasse), ikan yu dan pari.

Katanya, jika ada peserta yang tertangkap ikan jenis itu, ia perlu dilepaskan segera. Mana-mana peserta yang tidak mengikuti peraturan berkenaan akan hilang kelayakan untuk bertanding.

“SAA juga ingin mengingatkan peserta bahawa penggunaan joran elektrik tidak dibenarkan. Semua bot yang menyertai pertandingan akan diperiksa oleh warden sebelum pelepasan peserta dan jika didapati terdapat joran elektrik di dalam bot, tidak kira ia dimiliki oleh peserta atau pemilik bot, joran itu akan dirampas dan dilelong kepada orang ramai,” katanya.

Yuran pendaftaran bagi peserta yang bukan ahli SAA adalah RM500 dan untuk ahli SAA yuran pendaftaran ditetapkan pada RM450.

Pelepasan peserta SIFT 2016 akan dilakukan pada jam 9 pagi, 19 April dan semua peserta perlu kembali ke Sutera Harbour Marina sebelum jam 1 petang pada 24 April.

Borang permohonan boleh diperoleh di pejabat Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Sri Pelancongan Sabah, Fishing Tackle Shop Kota Kinabalu dan Sutera Habour Marina & Country Club.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Timbalan Presiden SAA Albert Yong dan Pengurus Besar Sutera Habour Marina & Country Club Rick Blackie.

 

Advertisement