Anda di sini

2,507 anggota JPAM siap siaga hadapi bencana

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mempersiapkan 2,507 pegawai serta anggota bagi menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan hujan serta ribut petir yang dijangka melanda negeri ini.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah Leftenan Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pihaknya sentiasa menambah kesiapsiagaan sebagai langkah awal menangani pelbagai bencana selain kecemasan di luar jangkaan.

“Walaupun jangkaan hujan serta ribut petir masih berada di peringkat awal, namun kita lebih menumpukan operasi menangani bencana banjir tambahan lagi kita kini sedang berada di musim Monsun Timur Laut.

“Kita khuatir tentang keselamatan orang awam sekiranya bencana ini menimpa secara serentak di semua daerah di negeri ini lebih-lebih lagi jika musim banjir dan Taufan Melor berlaku secara serentak.

“Oleh itu, kita mempersiapkan seramai 2,507 anggota di semua daerah bersama jentera serta peralatan bagi mengurangkan risiko bahaya kepada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Pihaknya juga percaya pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain sentiasa mengambil langkah persediaan tinggi dalam menghadapi bencana yang mendatang.

 

Advertisement