Anda di sini

Pokok Krismas setinggi 30 kaki antara tarikan utama pada Krismas Gaya

Advertisement

 Pokok Krismas setinggi 30 kaki jadi tumpuan orang ramai.

TARIKAN: Pokok Krismas setinggi 30 kaki jadi tumpuan orang ramai.

KOTA KINABALU: Festival Krismas Gaya pada hari pertama berlangsung dengan penuh meriah walaupun pada mulanya hujan turun dengan lebat.

Berdasarkan tinjauan Utusan Borneo, orang ramai mula membanjiri Krismas Gaya sebaik sahaja hujan reda.

Lebih 350 gerai kecil juga dilihat menjual pelbagai barangan Krismas, aksesori, pakaian serta makanan dan minuman.

Pada kali ini, hiasan pokok Krismas setinggi 30 kaki serta salji buatan menjadi tarikan utama pengunjung di Festival Krismas Gaya.

Salah seorang pengunjung, Olga Saviona Gubili, 20, berkata Krismas Gaya pada kali ini tidak menghampakan.

“Setiap kali penganjurannya memang tidak pernah menghampakan dengan adanya pelbagai pengisian program yang menarik selain gerai-gerai yang dibuka sempena festival ini.

“Dengan ini, kemeriahan Krismas semakin dirasai dan ini adalah pengalaman yang menyeronokkan apabila tibanya Krismas yang dinanti-nanti pada 25 Disember,” katanya.

Menurut Olga, dia amat menyukai hiasan pokok Krismas setinggi 30 kaki serta salji buatan yang menghiasi Krismas Gaya.

“Diharap pada tahun hadapan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama penganjur yang lain akan membuat kejutan baharu dengan memperbanyakkan hiasan Krismas di Lintasan Deasoka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Kueh Joo Hon, 44, berkata sudah tiga tahun dia dan isterinya Ainah Tamin, 42, menyertai gerai kecil sempena perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Kaamatan.

“Usaha pihak DBKK menyediakan gerai-gerai jualan sempena perayaan amat baik kerana mewujudkan peluang perniagaan kepada peniaga kecil selain memeriahkan lagi perayaan yang disambut.

“Pelancong juga mempunyai aktiviti pada waktu malam di mana mereka boleh berkunjung ke gerai ini dan merasai suasana sambutan Krismas di Sabah,” katanya.

Kueh yang menjual pakaian serta aksesori itu turut berharap orang ramai terus menyokong peniaga kecil walaupun kini keadaan ekonomi yang agak kurang memberangsangkan.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pihak DBKK mewujudkan satu lorong makanan yang menjual pelbagai makanan segera dan kuih-muih termasuk masakan tradisi tempatan pada waktu malam.

“Hal ini kerana, Sabah mempunyai ramai pelancong terutamanya dari Korea dan China, sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat untuk ditujui bagi mengisi masa lapang pada waktu malam.

“Di samping itu, Sabah secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi makanan tradisinya dan pada masa yang sama membantu meningkatkan pembangunan ekonomi penduduk tempatan di negeri ini,” katanya.

Mengulas penganjuran karnival perayaan seperti Krismas, Kueh berkata ia mampu mengeratkan perpaduan kaum di negeri ini dengan kehadiran pengunjung yang tidak kira kaum, agama dan bangsa.

 

 

Advertisement