Anda di sini

Cuai punca kebakaran bot kumpit bawa petrol

Advertisement

SANDAKAN: Faktor kecuaian dan tiada langkah pencegahan keselamatan menjadi punca berlaku kebakaran membabitkan sebuah bot kumpit membawa muatan 470 tong minyak petrol di kawasan perairan Batu Sapi dekat sini pada Selasa lepas.

Api turut merebak ke dua lagi bot awam dan menyebabkan seorang daripada sebelas kru kapal warga Filipina bot kumpit itu hilang dan mayatnya ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi kejadian, keesokannya.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Sandakan Kapt Maritim A. Razak Abdul Rahman berkata letupan disusuli kebakaran berlaku selepas bot kumpit didaftarkan atas nama M/L Harma berdaftar di selatan Filipina selesai melakukan pemunggahan minyak petrol RON 97 sebanyak 94,000 liter untuk dibawa ke Bongao, Tawi-Tawi Filipina.

Katanya menerusi kenyataan diambil daripada penyelia syarikat yang mengendalikan penghantaran minyak petrol itu, letupan kecil berlaku selepas enjin kedua bot kumpit itu dihidupkan dan disusuli letupan kedua lalu membakar keseluruhan bot.

Menurutnya disebabkan tempat pemunggahan minyak dilakukan di tongkang berhampiran Kampung Cenderamata, tambatan tali bot kumpit itu dilepas bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan kampung.

“Tiada alat pemadam kebakaran dan kru kapal tidak memakai jaket keselamatan antara faktor keselamatan diabaikan ketika mengendalikan minyak petrol dalam kejadian ini.

“Bot kumpit diperbuat daripada kayu, juga tidak sesuai digunakan untuk mengangkut minyak petrol,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Ini merupakan kejadian kedua membabitkan bot kumpit mengangkut minyak petrol dari Filipina terbakar di perairan Sandakan.

Kejadian pertama pada Ogos lepas membabitkan bot kumpit membawa muatan 550 tong dram mengandungi 11,000 liter minyak petrol di sebuah jeti milik persendirian di Kilometer 10 Jalan Batu Sapi.

A. Razak berkata siasatan awal juga mendapati, syarikat terlibat adalah yang sama mengendalikan penghantaran minyak petrol itu dan hanya melakukan pemunggahan minyak di tempat berbeza.

Katanya kerja pemunggahan minyak tidak dilakukan di jeti, tetapi atas tongkang.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati lesen yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada syarikat itu hanya untuk minyak diesel sebanyak 50,000 liter.

Menurutnya siasatan lanjut akan dibuat oleh pihak KPDNKK yang mengeluarkan lesen kepada syarikat berkenaan.

Mengenai keadaan lima kru bot kumpit itu yang cedera dan menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan, A. Razak berkata kesemua mereka yang merupakan warganegara Filipina masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi akibat kecederaan melecur. — Bernama

 

 

Advertisement